JENAYAH & MAHKAMAH

Semakan Kes Kembalikan Status Islam Anak Loh Didengar 8 April

07/02/2025 01:24 PM

PUTRAJAYA, 7 Feb (Bernama) -- Mahkamah Persekutuan menetapkan semula tarikh pendengaran permohonan semakan Kerajaan Negeri Perlis untuk mengembalikan status agama tiga anak Loh Siew Hong sebagai Islam, kepada 8 April ini.

Peguam Daniel Farhan Zainul Rijal yang mewakili kerajaan negeri berkenaan mengesahkan tarikh baharu itu ketika dihubungi Bernama. Tarikh pendengaran yang ditetapkan sebelum ini, iaitu pada 20 Feb, telah dibatalkan.

Tarikh baharu itu ditetapkan semasa sesi pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Persekutuan Wan Norazimin Kassim semalam. Daniel dan peguam Loh, A. Srimurugan turut hadir dalam sesi itu.

Pada 30 Okt tahun lepas, kerajaan Perlis memfailkan permohonan semakan di Mahkamah Persekutuan untuk mengetepikan keputusan mahkamah itu sebelum ini yang menolak kebenaran merayu difailkan oleh kerajaan negeri dan tiga pihak lain.

Dalam permohonan semakan itu, kerajaan negeri menyatakan bahawa keputusan sebelum ini telah menjejaskan hak pihak itu untuk didengar, dan memohon pendengaran semula permohonan kebenaran merayu.

Permohonan itu bagaimanapun ditolak pada 14 Mei tahun lepas, menghalang pemohon termasuk Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs), Pendaftar mualaf Negeri Perlis dan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin daripada meneruskan rayuan mereka.

Loh memfailkan afidavit bagi membantah permohonan semakan itu.

Pada 10 Jan 2024, Mahkamah Rayuan membatalkan penukaran agama anak-anak Loh kepada Islam dan mengisytiharkan mereka beragama Hindu. Keputusan itu telah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 2023 yang sebelum ini menolak semakan kehakiman Loh untuk membatalkan penukaran agama anaknya.

Ibu tunggal berusia 37 tahun itu memfailkan semakan kehakiman pada 25 Mac 2022, memohon pengisytiharan bahawa tiga anaknya beragama Hindu dan mendakwa bekas suaminya, M. Nagahswaran, yang memeluk Islam, tidak mempunyai kapasiti undang-undang untuk mendaftarkan anak mereka sebagai mualaf tanpa kebenaran Loh.

Tiga kanak-kanak itu yang sebelum ini diletakkan di bawah jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat, diserahkan kepada Loh pada 21 Feb 2022 selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan habeas corpusnya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390225