KOTA BHARU, 7 Feb (Bernama) -- Kelantan Darul Naim FC (KDN FC) kembali beraksi dalam saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV selepas kerja baik pulih stadium itu siap sepenuhnya.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan Perpaduan Masyarakat negeri Zamakhshari Muhamad berkata kerja baik pulih stadium berkenaan telah selesai sepenuhnya dan kini boleh digunakan seperti biasa.
“Stadium Sultan Muhammad IV kembali beroperasi sejak 13 Jan lepas, perlawanan antara KDN FC dan Penang FC menjadi aksi pertama di gelanggang ini selepas kerja baik pulih dijalankan sejak Ogos lepas.
“Bagi 2025, beberapa tandas di ruang pintu masuk penonton akan dinaik taraf menggunakan peruntukan stadium. Kerja-kerja naik taraf ini dijangka bermula Mei depan dengan kos RM500,000,” katanya kepada Bernama hari ini.
Zamakhshari menambah, naik taraf tandas penting bagi menampung keperluan kira-kira 18,000 penonton yang hadir menyaksikan perlawanan bola sepak dan pelbagai program lain di stadium berkenaan.
“Keadaan tandas ketika ini agak daif dan kurang sesuai untuk kegunaan penonton. Oleh itu, usaha naik taraf ini amat diperlukan bagi meningkatkan keselesaan mereka,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan kerja baik pulih di stadium tersebut merangkumi pemasangan longkang, pemasangan paip, serta baik pulih padang.
-- BERNAMA