JENAYAH & MAHKAMAH

JIM Pulau Pinang Tahan 44 Pekerja Asing Atas Pelbagai Kesalahan

07/02/2025 07:38 PM

BUTTERWORTH, 7 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Pulau Pinang menahan 44 pekerja asing yang bekerja di negeri ini dalam Op Mahir dan Op Belanja yang dijalankan di tiga lokasi di negeri itu pada Rabu.

Pengarah JIM Pulau Pinang Nur Zulfa Ibrahim berkata operasi itu dijalankan di dua kilang di daerah Seberang Perai Tengah dan premis perniagaan di daerah Barat Daya, hasil maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

"Dalam operasi itu, pihak kami memeriksa 147 warga asing sebelum menahan 44 orang termasuk 27 wanita yang kesemuanya berumur 20 hingga 40 tahun kerana pelbagai kesalahan di bawah Akta Imigresen antaranya tiada dokumen perjalanan diri, tiada permit kerja dan tinggal lebih masa.

"Mereka yang ditahan terdiri daripada Myanmar melibatkan 25 wanita dan tiga lelaki, 10 lelaki Bangladesh, Nepal (seorang lelaki dan dua wanita), dua lelaki Indonesia serta seorang lelaki India," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa dan orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai warga asing boleh menyalurkan kepada JIM Pulau Pinang.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390422