SEREMBAN, 7 Feb (Bernama) -- Persatuan Veteran Angkatan Tentera Malaysia (PVATM) menceburi perniagaan produk makanan berasaskan ayam bagi menjana pendapatan dalam usaha membantu membangunkan ekonomi dan kebajikan ahli.
Presiden PVATM Datuk Sharuddin Omar berkata bidang ini turut dipilih kerana selari dengan hasrat kerajaan bagi meningkatkan keterjaminan makanan negara.
"Sumbangan kami tidak besar namun sekurang-kurangnya kita menyediakan platform untuk membantu veteran kita sendiri,” katanya kepada pemberita di Pusat Jualan Ayam Segar Veteran di Paroi, di sini hari ini.
Beliau berkata pusat jualan itu telah beroperasi sejak tiga bulan lepas dan pada peringkat permulaan pihaknya turut bekerjasama dengan sebuah syarikat bagi membantu menguruskan perusahaan milik PVATM.
Sharuddin berkata setakat ini PVATM mempunyai tujuh ladang ayam kontrak di Johor Bahru yang akan membekalkan ayam segar kepada tiga pusat jualan utama PVATM di Muar, Paroi dan di Bacang, Melaka yang akan dibuka pada bulan depan di samping jualan di Selangor.
Beliau berkata selain ayam segar yang dijual RM7.50 sekilo, PVATM turut mengeluarkan beberapa produk lain termasuk ayam perap, ayam bulat dan ayam potong dengan harga lebih murah berbanding pasaran.
"Alhamdulillah sambutan yang diterima cukup menggalakkan, walaupun baru beroperasi kita telah terima tempahan 500,000 peket ayam perap daripada pengusaha di Singapura," katanya dan menambah PVATM turut berhasrat melebarkan sayap perniagaan itu ke Thailand, Brunei dan Indonesia.
Dalam pada itu, beliau berkata selain produk makanan, persatuan itu juga terlibat dalam bidang perhotelan bagi menambah sumber pendapatan dengan setakat ini terdapat dua hotel yang sedang dalam pengubahsuaian iaitu di Paroi yang mempunyai 150 bilik manakala di Kuala Lumpur sebanyak 330 bilik.
-- BERNAMA