Oleh Nur Fatin Mohmad Kadenen
KOTA TINGGI, 8 Feb (Bernama) -- Penduduk Jalan Balau di Taman Desaru Utama, di sini berharap agar benteng atau tambakan di sungai berdekatan dapat dibuat dengan segera bagi menangani masalah banjir yang kerap berlaku sejak 2021.
Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Jalan Balau Md Johari Dol berkata difahamkan, banjir yang berlaku antaranya disebabkan faktor limpahan air dari Sungai Lebam di belakang taman perumahan berkenaan.
Md Johari yang telah 10 tahun menetap di kawasan perumahan itu berkata awal tahun ini sahaja banjir telah berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh sebulan, iaitu pada 10 Jan dan yang terbaharu pada Rabu lepas (5 Feb) dengan melibatkan 172 mangsa.
“Benteng atau tambakan perlu dibuat untuk halang air yang melimpah ke kawasan taman. Tindakan ini perlu dilakukan sekurang-kurangnya dapat mengurangkan risiko banjir yang dihadapi penduduk.
“Rasanya sudah lima kali banjir dan paling teruk sekali adalah pada Januari 2023 dengan paras air sedalam satu kaki. Baru-baru ini banjir naik paras betis dan ia berlaku tidak sampai sebulan,” katanya kepada Bernama ketika ditemui di sini hari ini.
Sementara itu Nurhaliza Ghazali, 30, berkata barang kelengkapan rumah seperti almari dan perkakas elektrik rosak akibat banjir yang berlaku pada Rabu.
“Hujan lebat berterusan pada waktu subuh dan banjir berlaku dengan pantas. Apabila saya dan suami sedar daripada tidur dalam 5.30 pagi, air sudah masuk ke dalam rumah. Kami selamatkan mana-mana barang yang sempat sahaja termasuk sebuah kereta yang berjaya dialihkan, tetapi sebuah lagi tidak,” katanya.
Farah Izzati Azmi, 27, yang hampir setahun menetap di kawasan perumahan itu pula berkata kesan lumpur ekoran banjir menyukarkan kerja-kerja pembersihan.
“Agak susah untuk bersihkan rumah sebab ada kesan lumpur. Jadi, kita kena pastikan rumah dicuci dengan bersih. Rumah saya dekat kawasan sungai, jadi apabila hujan lebat memang kawasan kami yang kena banjir dulu,” katanya.
Nor Azwa Shakila, 35, pula berkata dia mengalami banyak kerosakan barang kelengkapan rumah termasuk tilam dan cadar.
“Mujur tidak beli lagi baju sekolah anak, kalau tidak rosak juga kerana banjir,” katanya.
Terdahulu, tinjauan Bernama mendapati rata-rata penduduk di jalan berkenaan membersihkan kawasan rumah mereka dan mengeluarkan kesemua barangan yang telah rosak.
Banjir pada Rabu menjejaskan lebih 372 mangsa daripada 106 keluarga di Kota Tinggi, dengan paling ramai ialah penduduk Taman Desaru Utama, iaitu sebanyak 172 orang manakala selebihnya melibatkan penduduk Taman Penawar Harmoni dan Kampung Baru Sungai Mas.
-- BERNAMA