Oleh Samantha Tan Chiew Tieng
PUTRAJAYA, 8 Feb (Bernama) -- Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) giat menjalankan pelbagai program pemuliharaan terutama di kawasan berstatus sensitif bagi memastikan kemampanan stok ikan negara terjamin, termasuk mewujudkan lebih banyak kawasan perlindungan marin (MPA) dan melaksanakan larangan menangkap ikan pada musim bertelur dan pembiakan.
Ketua Pengarah Perikanan Datuk Adnan Hussain berkata perancangan lain termasuk memperbanyak tukun tiruan, melaksanakan musim tertutup di kawasan berisiko perairan di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor barat, kawasan larangan perikanan bagi 80 kawasan MPA seperti taman laut dan refugia serta pelaksanaan dasar 'no catch' bagi kawasan nurseri ikan.
"Bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), cadangan 10 tapak tukun dilabuhkan setiap tahun dan pembangunan tiga kompleks tukun tiruan di kawasan tersorot sumber perikanan akan dilaksanakan, tertakluk kepada kesesuaian tapak," katanya kepada Bernama.
Adnan berkata RMK13 juga memfokuskan kepada aktiviti pengurusan perikanan dan DOF akan mencadangkan kepada pihak berwajib agar kajian sumber perikanan dapat dilaksanakan secara teratur dan berstruktur.
Maklumat saintifik daripada kajian itu katanya akan membolehkan bilangan kapasiti vesel penangkapan ikan ditentukan berdasarkan stok sumber.
Beliau berkata meskipun pengeluaran perikanan masih pada tahap yang sihat iaitu 1.42 juta tan metrik tahun lepas dan sumber ikan pelagik berada dalam keadaan baik di Pantai Timur dan Pantai Barat, sesetengah kawasan memerlukan pengawasan ketat bagi memastikan kelestarian sumber, melindungi biodiversiti laut serta kesejahteraan ekonomi komuniti yang bergantung kepada perikanan.
Menurut Adnan zon larangan perikanan akan turut diwujudkan bagi memastikan sebarang aktiviti perikanan dilarang di dalam kompleks tukun tiruan.
Beliau berkata sebanyak 281 tukun bagi RMK-12 bernilai RM8.58 juta, telah dilabuhkan dan kajian keberkesanan tukun tiruan DOF ke atas 84 tapak mendapati antara 129 hingga 6,047 kilogram (kg) biojisim ikan direkodkan pada satu tapak dengan nilai sumber tertinggi berjumlah RM84,759.60.
Katanya antara faedah tukun tiruan adalah meningkatkan sumber perikanan dan menjadi instrumen penghalang kepada pencerobohan vesel komersial khususnya nelayan pukat tunda yang menceroboh kawasan perairan nelayan tradisional.
Namun jelasnya cabaran tukun adalah perlunya usaha berterusan dalam memastikan ia dalam keadaan efektif kerana tukun terdedah kepada 'Ghost Net' (pukat yang tertinggal).
Selain itu, Adnan berkata usaha lain termasuk meningkatkan pemuliharaan stok ikan di perairan bawah 12 batu nautikal (b.n) memandangkan sejumlah besar pendaratan ikan adalah daripada hasil penangkapan perikanan pantai khasnya di Pantai Barat.
Beliau berkata sebanyak 87.9 peratus atau 1.15 juta tan metrik berjumlah RM10.3 juta daripada keseluruhan pendaratan ikan marin seberat 1.31 juta tan metrik disumbangkan oleh perikanan laut pantai pada 2022.
Katanya usaha lain diambil DOF dalam pemuliharaan termasuk penguatkuasaan larangan menangkap anak ikan kerapu pada November hingga Disember setiap tahun di Kelantan dan Terengganu serta sistem pengezonan baharu yang telah digunakan di Perak, Selangor dan Kedah iaitu 0-1 b.n sebagai zon konservasi.
Adnan berkata lesen baharu untuk kawasan penangkapan ikan laut dalam di zon C2 di Pantai Timur masih dibuka memandangkan sumber yang masih banyak namun lesen vesel sedia ada dikekalkan bagi memulihkan sumber yang ada agar membawa manfaat kepada ekosistem secara menyeluruh.
"Lesen sampan yang dikeluarkan lebih kepada proses penggantian (memandangkan) ada nelayan keluar dari industri, meninggal dunia dan uzur. Tidak ada pengeluaran lesen baharu untuk nelayan di zon A, B dan C untuk memastikan sumber perikanan dalam keadaan baik dan terkawal," katanya.
Definisi zon A adalah kawasan kurang dari lima b.n dari pesisir pantai, zon B (kawasan lima hingga 12 b.n dari pesisir pantai) dan zon C (kawasan 12 hingga 30 b.n dari pesisir pantai).
Zon C2 pula merujuk kepada perairan perikanan bermula daripada 15 b.n dari Pantai Barat (Selat Melaka) sehingga ke sempadan Zon Ekonomi Eksklusif (ZEE) dan 30 b.n dari Pantai Timur sehingga ke sempadan ZEE.
Adnan berkata zon larangan perikanan turut diwujudkan bagi memastikan sebarang aktiviti perikanan adalah dilarang di dalam kompleks tukun tiruan.
Sementara itu, beliau berkata Malaysia telah meratifikasi Perjanjian Subsidi Perikanan (FSA) di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 26 Februari lepas, yang merupakan usaha global untuk membendung subsidi perikanan yang berbahaya dan melindungi stok ikan.
Pada masa sama, Adnan berkata DOF juga dalam usaha melaksanakan pindaan Akta Perikanan 1985 secara menyeluruh untuk menyelesaikan masalah utama antaranya bagi membolehkan isu-isu yang menjurus kepada kemerosotan stok perikanan ditangani dan langkah-langkah pengurusan perikanan dilaksanakan secara holistik.
Beliau berkata antara faktor yang menyebabkan tekanan tambahan pada stok ikan di masa depan termasuk penangkapan ikan secara berlebihan (overfishing), kemusnahan habitat marin, pencemaran laut, perubahan iklim dan kegiatan perikanan haram seperti aktiviti tidak sah, tidak direkodkan dan tidak terkawal
“Pengurusan stok ikan yang berkesan memerlukan pendekatan holistik seperti amalan perikanan lestari, pemuliharaan habitat dan penguatkuasaan peraturan untuk memastikan bekalan ikan negara kekal mencukupi pada masa hadapan,” katanya.
-- BERNAMA