AM

Peruntukan RM18.9 Juta Bagi Transfomasi Digital Di 100 Klinik Kesihatan Tahun Ini

08/02/2025 05:30 PM

BUTTERWORTH, 8 Feb (Bernama) -- Kerajaan memperuntukkan RM18.9 juta tahun ini bagi menjalani transformasi digital termasuk pelaksanaan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS) di 100 klinik kesihatan (KK) seluruh negara.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata ia termasuk 10 KK di Pulau Pinang iaitu KK Air Putih, Bayan Baru, Bukit Minyak, Jalan Perak, Kepala Batas, Seberang Jaya, KK Sungai Bakap, Sungai Dua, Tanjung Bungah dan Tasek Gelugor.

“Pelaksanaan kita buat untuk tahun ini berdasarkan Belanjawan 2025 dan kerajaan akan melaksanakan sistem Rekod Perubatan Elektronik (EMR) di Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya pada 2026,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara di KK Sungai Dua di sini hari ini.

Beliau berkata hospital lain di Pulau Pinang akan disusuli mengikut peruntukan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Transformasi digital yang melibatkan pelaksanaan CCMS itu mengurangkan tempoh menunggu pesakit di klinik kerajaan dari tiga jam kepada 30 minit.

Sementara itu, Dzulkefly memaklumkan sehingga kini, terdapat 33 Wellness Hub di seluruh negara yang menawarkan perkhidmatan kesihatan komprehensif termasuk Zoomers Wellness on Wheels (WoW@Zoomers).

Selaras dengan agenda reformasi kesihatan negara, beliau berkata Wellness Hub menyokong peralihan daripada konsep sick care kepada health care yang lebih menyeluruh dan pendekatan KKM berpaksikan pendekatan mencegah, menggalak dan meramal bagi memastikan setiap rakyat Malaysia lebih cakna dalam menjaga kesihatan.

“Data dari 2020 hingga Jun 2024 menunjukkan hampir 1 juta klien telah mengunjungi Wellness Hubs di seluruh Malaysia, dengan 20,000 klien dari Seberang Perai Utara dan Program IFitEr (I Fit and Eat Right) mencatatkan kejayaan 60 peratus peserta menurunkan berat badan,” katanya.

Beliau berkata kajian menunjukkan model Wellness Hub meningkatkan kesedaran kesihatan dan mengurangkan beban kes penyakit tidak berjangkit (NCD) dalam masyarakat dengan menyediakan akses kepada perkhidmatan mudah diakses.

Sehubungan itu, Dzulkefly memaklumkan kerajaan menanggung kos kira-kira RM64 bilion bagi NCD khusunya bagi diabetes, kardiovaskular, respiratori kronik dan kanser.

Beliau berkata Wellness Hub bukan sekadar pusat kesihatan khusus untuk masyarakat setempat tetapi juga memainkan peranan dalam modifikasi tingkah laku, memberikan bimbingan, motivasi, dan sokongan sosial kepada klien untuk mencapai kesihatan lebih baik.

Selain itu, Wellness Hub turut menyediakan program literasi kesihatan, pemeriksaan kesihatan percuma dan sesi kaunseling telah membantu komuniti mengenal pasti risiko kesihatan lebih awal dan mengambil langkah pencegahan yang tepat.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390674