Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga. Lelaki berusia 40-an ini akur dengan takdir apabila didiagnosis menghidap HIV dan kanser limfoma secara serentak.
Hanya mampu menyesali masa silamnya pernah bergelumang dalam dunia seks bebas, dia yang kini telah berkahwin, masih menaruh harapan untuk bingkas daripada ujian hidup dan memilih menjalani rawatan imunoterapi, kemoterapi serta rawatan Antiretroviral (ART) di sebuah hospital swasta di sini.
Kini, selepas hampir tiga bulan didiagnosis, dia telah pulih daripada kanser darah yang mengancam nyawa itu sementara beban virus HIV pula menurun.
Meneliti kes itu, pakar berkata lelaki berkenaan mempunyai beban virus HIV yang tinggi menyebabkan sistem imun tubuhnya lemah dan membuka peluang kepada kanser limfoma yang agresif.
Kanser limfoma ialah kanser darah yang berkembang daripada pertumbuhan sel darah putih tidak terkawal dipanggil limfosit dan seterusnya membentuk tumor. Sistem imun yang lemah pada pesakit HIV membuatkan mereka lebih rentan kepada penyakit ini.
Kajian terkini menunjukkan pesakit HIV berisiko 10 hingga 20 kali lebih tinggi untuk menghidap limfoma berbanding individu tanpa HIV, dan di Malaysia, data terkini menunjukkan terdapat kira-kira 85,000 individu hidup dengan HIV yang membawa risiko “ledakan bom jangka” limfoma jika tidak ditangani secara serius oleh pihak berkaitan.
CABARAN DIAGNOSIS AWAL
Mengulas isu itu, pakar hematologi Dr Tengku Ahmad Hidayat Tengku K Aziz daripada Hospital Beacon, Petaling Jaya, Selangor, melihat trend pesakit HIV menghidap limfoma semakin meningkat.
“Sepanjang 2024, saya menerima tiga kes baharu, tidak termasuk kes sedia ada yang sedang saya kendalikan,” katanya kepada Bernama.
Katanya, walaupun angka itu kelihatan kecil, realitinya mencerminkan satu trend yang berpotensi untuk menjadi lebih serius memandangkan penghidap HIV di negara ini masih dihambat stigma selain kekangan kewangan, sekali gus menghalang mereka daripada mendapat diagnosis awal.
“Diagnosis awal merupakan kunci untuk rawatan berjaya. Namun, disebabkan stigma menghalang pesakit HIV mendapatkan rawatan berserta gejala limfoma yang bertindih dengan penyakit lain, maka diagnosis awal sukar dibuat.
“Antara gejala limfoma ialah demam yang kerap dan berterusan, keletihan serta kelenjar membengkak, membuatkan pesakit menganggap mereka hanya mengalami masalah kesihatan biasa. Justeru, tanpa ujian khusus seperti biopsi atau PET-Scan, sukar untuk mengesan kanser limfoma,” katanya.
Menurut beliau, risiko lebih tinggi bagi penghidap HIV di kawasan luar bandar kerana kekurangan fasiliti.
“Di kawasan pedalaman akses kepada peralatan diagnostik moden amatlah terhad, seterusnya bakal melambatkan pengesanan. Hospital-hospital kecil biasanya tidak mempunyai peralatan canggih dan pesakit perlu dirujuk ke hospital lebih besar yang mungkin memakan masa," katanya.
Menurutnya, kos yang tinggi juga berisiko mengakibatkan ramai pesakit memilih untuk tidak menjalani ujian atau rawatan kerana bimbang tidak mampu menanggung kos rawatan.
JANGKITAN OPORTUNISTIK MEMBUNUH
Mengulas lanjut, Dr Tengku Ahmad Hidayat berkata pesakit limfoma berkaitan HIV juga terdedah kepada jangkitan oportunistik (OI) seperti pneumocystis pneumonia (PCP), iaitu sejenis jangkitan paru-paru yang boleh menyebabkan sesak nafas dan batuk teruk, sementara jangkitan tuberkulosis atau tibi pula boleh menyerang paru-paru dan merebak ke bahagian lain pada tubuh.
"OI bukan sahaja melemahkan pesakit tetapi juga menyukarkan rawatan kanser. Sebagai contoh, rawatan kemoterapi mungkin perlu ditangguhkan untuk mengawal jangkitan serius. Sebelum ini, saya pernah merawat pesakit yang mengalami jangkitan otak akibat OI sehingga menyebabkan meningitis. Keadaan ini memerlukan pesakit menjalani rawatan intensif di unit rawatan rapi selama beberapa minggu," jelas beliau.
Dari segi rawatan pula, beliau berkata hospital lazimnya mengambil pendekatan holistik, meliputi rawatan kemoterapi dan imunoterapi yang berfungsi memusnahkan sel kanser namun boleh melemahkan imun tubuh.
Justeru, rawatan kemoterapi akan disekalikan dengan terapi ART yang cukup kritikal bagi mengawal beban virus HIV dan memperkuat sistem imun.
“ART melibatkan pengambilan gabungan ubat HIV (dipanggil rejimen rawatan HIV) mengikut jadual tetap, biasanya sehari sekali atau dua kali sehari.
"ART disyorkan untuk semua orang yang mempunyai HIV. ART tidaklah menyembuhkan sepenuhnya HIV, tetapi membantu pesakit menjalani kehidupan lebih lama dan berkualiti serta mengurangkan risiko penularan HIV. Tanpa ART, rawatan kanser mungkin kurang berkesan," katanya.
Menurut Kementerian Kesihatan, kira-kira 66 peratus pesakit HIV di negara ini menerima ART pada 2021 berbanding hanya 28 peratus pada 2015.
Berkongsi lanjut, Dr Tengku Ahmad Hidayat berkata teknologi rawatan terkini seperti Terapi CAR T-cell juga ditawarkan oleh sesetengah hospital bagi merawat limfoma, namun mungkin tidak sesuai untuk penghidap HIV yang merupakan penyakit berkaitan sel imun T.
Terapi CAR T-cell ialah rawatan imunoterapi canggih untuk kanser limfoma, menggunakan sel T pesakit yang diubah suai secara genetik bagi menyerang sel kanser. Walaupun berkesan, kos rawatan ini masih tinggi dengan kemungkinan kesan sampingan seperti Cytokine Release Syndrome (CRS) dan neurotoksisiti.
PROGNOSIS LEBIH BAIK
Sementara itu, Dr Nor Liza Ariffin, pakar penyakit berjangkit di Hospital Thomson Kota Damansara, berkata terapi ART memainkan peranan penting dalam pengurusan pesakit HIV yang turut didiagnosis dengan limfoma.
ART berfungsi menghalang virus HIV daripada mengganda, sekali gus mengurangkan jumlah virus (beban virus) itu dalam tubuh.
Menurutnya, pesakit HIV sering menghidap limfoma yang bersifat agresif, dan pada masa lalu sebelum akses kepada rawatan ART mudah didapati, proses rawatan menjadi lebih rumit kerana sel CD4 (sel darah putih yang memainkan peranan penting dalam sistem imun) yang rendah sering menyukarkan rawatan kemoterapi.
“Dulu, jika pesakit tidak mendapat rawatan HIV, mereka mungkin menghadapi kesulitan besar akibat kesan rawatan kemoterapi itu sendiri. Namun kini, dengan adanya akses rawatan HIV secara percuma di hospital kerajaan, rawatan HIV bersama limfoma menjadi lebih terkawal,” katanya.
Katanya, prognosis pesakit HIV dengan limfoma juga adalah lebih baik jika kedua-dua penyakit dirawat secara berperingkat atau serentak, dengan lazimnya rawatan HIV dimulakan terlebih dahulu sebelum pakar menentukan masa yang sesuai untuk memulakan rawatan limfoma.
“Rawatan HIV yang lebih awal dapat membantu mengukuhkan sistem imun sebelum rawatan limfoma dijalankan,” tambahnya.
Dari segi cabaran merawat pesakit, stigma yang masih menebal dalam kalangan masyarakat terus menghalang pesakit daripada mendapatkan saringan HIV di awal jangkitan.
“Ada pesakit yang datang dengan gejala seperti demam berterusan dan kehilangan berat badan teruk. Namun, disebabkan stigma, mereka enggan menjalani saringan HIV atau berjumpa dengan doktor yang sepatutnya,” ujar beliau.
Stigma ini bukan sahaja melambatkan diagnosis tetapi juga menyukarkan usaha meningkatkan kesedaran dalam kalangan doktor dan pesakit mengenai kemungkinan limfoma, kata Dr Nor Liza yang turut menyeru agar kesedaran awam tentang kepentingan saringan HIV dipertingkatkan lagi.
“Memang ada iklan dan kempen kesedaran dijalankan, tetapi persoalannya adakah sampai ke semua lapisan masyarakat? Media sosial dan pengamal media boleh menjadi platform yang efektif untuk meningkatkan kesedaran ini,” tambah beliau.
Beliau turut berharap dengan peningkatan kesedaran, lebih ramai pesakit akan tampil menjalani saringan HIV tanpa rasa takut atau malu, seterusnya membolehkan diagnosis dan rawatan limfoma dilakukan lebih awal.
SOKONGAN PSIKOSOSIAL
Menekankan kepentingan sokongan psikososial bagi membantu pesakit menghadapi cabaran, Dr Nor Liza berkata keluarga yang memahami keadaan pesakit mampu memberi kekuatan emosi dan seterusnya membantu pesakit mematuhi rejim rawatan.
Sokongan daripada badan bukan kerajaan seperti Persatuan HIV/AIDS Malaysia pula membantu pesakit berkongsi pengalaman dan menangani tekanan emosi.
Oleh itu katanya, kempen seperti Ujian HIV Tanpa Stigma perlu diperluas bagi menghapuskan stigma dalam masyarakat terhadap golongan berkenaan.
"Selain itu, penurunan kos, kemajuan teknologi perubatan dan usaha global demi memastikan pesakit menerima rawatan terkini mampu meningkatkan akses kepada terapi. Di samping itu, langkah pencegahan seperti mengamalkan seks selamat, menjauhi hubungan seks sesama lelaki dan seks rambang, selain menjalani ujian HIV secara berkala amat penting untuk mengurangkan risiko jangkitan.
“Menerusi diagnosis awal, rawatan tepat dan sokongan menyeluruh, harapan pesakit untuk sembuh boleh menjadi kenyataan," tegasnya.
Sementara itu, Yayasan AIDS Malaysia kekal komited dalam menyantuni komuniti terkesan HIV melalui pelbagai program rawatan, jagaan dan sokongan seperti Skim Bantuan Perubatan yang menyediakan ART peringkat kedua bersubsidi bagi pesakit HIV daripada golongan B40, memandangkan subsidi kerajaan hanya di peringkat pertama rawatan.
“Semua inisiatif ini, termasuk Skim Bantuan MyLady bagi wanita yang hidup dengan HIV, Sabah & Sarawak Health Access Programme dan Paediatric AIDS Fund, membuktikan komitmen pihak berkepentingan seperti MAF dan badan-badan lain dalam membawa harapan dan meningkatkan kesejahteraan komuniti HIV di Malaysia khususnya,” kata Pengerusinya Prof Dr Adeeba Kamarulzaman.