JENAYAH & MAHKAMAH

Peminat Yamaha RXZ Dinasihat Elak Beli Motosikal Seludup - JPJ

10/02/2025 11:49 AM

PASIR PUTEH, 10 Feb (Bernama) -- Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan menasihati peminat motosikal Yamaha RXZ agar tidak teruja untuk membeli dan memiliki motosikal seludup kerana tindakan itu boleh mengundang pelbagai risiko perundangan.

Pengarah JPJ Kelantan Mohd Misuari Abdullah berkata pembelian menerusi saluran tidak sah hanya memberi keseronokan sementara tetapi berisiko tinggi.

“Beli mengikut saluran betul dan bukannya melalui penyeludupan. Ia perbuatan sia-sia kerana keseronokannya hanya seketika,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penutup Operasi Khas Tahun Baharu Cina di JPJ Bukit Jawa di sini malam tadi.

Beliau berkata penyeludupan motosikal Yamaha RXZ terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Kastam manakala JPJ bertanggungjawab dalam penguatkuasaan kesalahan berkaitan penyalahgunaan Lesen Kenderaan Motor (LKM), penggunaan kenderaan tidak berdaftar dan pelanggaran peraturan lain.

Mohd Misuari berkata JPJ sentiasa bekerjasama dengan Pasukan Gerakan Am bagi mengekang penggunaan motosikal seludup di negeri itu.

Berhubung Op Khas Tahun Baharu Cina 2025 yang berlangsung selama 21 hari, beliau berkata JPJ Kelantan telah memeriksa 16,577 kenderaan sepanjang operasi itu dan sebanyak 6,434 notis saman dikeluarkan dengan 3,457 kenderaan diambil tindakan.

"Selain itu 5,158 notis saman JPJ(P) 22 dikeluarkan, 26 kenderaan disita di bawah Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan lima lori disita mengikut Seksyen 80(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010,” katanya.

Menurut beliau, kenderaan yang disita merangkumi 23 motosikal, dua kereta dan satu kenderaan pacuan empat roda dengan antara kesalahan dilakukan ialah pengubahsuaian ekzos, tayar dan komponen lain yang boleh membahayakan penunggang serta pengguna jalan raya lain.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2390998