DUNIA

China Kenakan Tarif Tambahan Ke Atas Barangan AS Bermula Isnin 

10/02/2025 03:06 PM

BEIJING, 10 Feb (Bernama-Sputnik/RIA Novosti) -- China akan mengenakan tarif tambahan sebanyak 15 peratus ke atas arang batu dan gas asli cecair (LNG) dari Amerika Syarikat (AS) serta 10 peratus ke atas beberapa barangan lain dari negara itu bermula Isnin, lapor Sputnik/RIA Novosti. 

Terdahulu, Beijing mengumumkan bahawa tarif tambahan akan dikenakan terhadap beberapa barangan import dari AS mulai 10 Feb termasuk 15 peratus ke atas LNG dan 10 peratus ke atas minyak mentah, jentera pertanian, kenderaan berkapasiti besar serta trak pikap. 

Langkah ini diambil susulan tindakan serupa oleh Washington.

Sebelum ini, Presiden Donald Trump menandatangani perintah eksekutif untuk mengenakan tarif ke atas barangan dari Kanada, Mexico dan China. Tarif tambahan 10 peratus turut dikenakan ke atas barangan dari China, selain yang telah dikuat kuasa sebelum ini. 

Perintah itu juga membatalkan peraturan “de minimis”, yang sebelum ini membenarkan barangan bernilai kurang daripada US$800 diimport ke AS tanpa dikenakan tarif. 

Timbalan Pengarah Institut Penyelidikan Pemasaran Antarabangsa di Kementerian Perdagangan China, Bai Ming memberitahu Sputnik/RIA Novosti bahawa pusingan baharu perang dagangan antara dua ekonomi terbesar dunia "sudah bermula". 

Menurut Bai Ming, tindakan balas yang diambil Beijing bertujuan menyasarkan sektor utama ekonomi AS dan meminimumkan kesan terhadap China. 

-- BERNAMA-SPUTNIK/RIA NOVOSTI 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391080