KUANTAN, 10 Feb (Bernama) -- Polis berjaya merampas dadah jenis syabu seberat 275.47 kilogram bernilai lebih RM8 juta serta menahan dua lelaki disyaki mengedar bahan terlarang itu susulan kejadian langgar lari di Kampung Pagar Sasak, Lipis, dekat sini, Khamis lepas.
Ketua Polis Pahang Datuk Seri Yahaya Othman berkata kemalangan pada 12 tengah hari itu berlaku apabila Toyota Wish putih yang dipandu suspek pertama berusia 67 tahun berlanggar dengan sebuah motosikal dinaiki dua remaja berusia 16 tahun yang mengalami kecederaan parah.
"Ekoran kemalangan itu, orang awam bertindak mengejar kereta tersebut sehingga ke Kampung Sungai Mun, Lipis dan segera menghubungi polis. Susulan itu, polis bertindak pergi ke lokasi dan berjaya menahan lelaki terbabit.
“Seorang lagi rakannya, iaitu suspek kedua berusia 31 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi tiba di lokasi untuk membantunya turut ditahan polis apabila melihat dia dalam keadaan mencurigakan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini hari ini.
Yahaya berkata suspek warga emas itu kemudiannya menunjukkan kepada polis kereta Toyota Wish yang disembunyikannya di sebuah kawasan berhampiran dalam keadaan berkunci dan hasil pemeriksaan, polis menjumpai 13 bungkusan plastik hitam mengandungi 261 bungkusan plastik lut sinar.
"Setiap satu plastik lut sinar itu pula mengandungi bungkusan berwarna coklat bertulisan Cina dan berlabel 'Chrysanthemum Tea'. Bagaimanapun selepas diperiksa ia mengandungi ketulan kristal yang disyaki dadah jenis syabu," katanya.
Beliau berkata selain rampasan dadah, turut disita sebuah produa Myvi yang dianggarkan bernilai RM59,400, wang tunai RM5,650 dengan nilai keseluruhan RM8,880,283 termasuk dadah.
Yahaya berkata kedua-dua lelaki itu dipercayai aktif mengedar dadah sejak awal tahun ini dengan peranan sebagai pengangkut serta tonto yang dibayar upah tinggi bagi setiap penghantaran.
"Kami percaya dadah tersebut diperoleh dari negara jiran dan ia dalam perjalanan untuk dihantar ke Lembah Klang. Berdasarkan ujian air kencing kedua-dua suspek negatif dadah. Bagaimanapun semakan mendapati mereka memiliki kes jenayah lampau dan dadah," katanya.
Beliau berkata mereka kini direman sehingga Khamis ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan dengan tangkapan itu, polis Pahang telah berjaya menumpaskan kegiatan pengedaran dadah yang menjadikan negeri ini sebagai laluan dan transit pengedaran.
-- BERNAMA