KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Pantech Global Bhd dijangka tidak terjejas dengan rancangan Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump untuk mengenakan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium.
Pengarah Urusan kumpulan Adrian Tan berkata cadangan tarif 25 peratus ke atas import keluli dan aluminium itu akan dikenakan secara seragam kepada semua negara, sekali gus mewujudkan persaingan yang adil.
“Sekiranya setiap negara dikenakan tarif 25 peratus, ia tidak akan memberi kesan kepada kami,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran prospektus kumpulan itu hari ini.
Pantech Global mengeluarkan dan mengeksport alat paip kimpalan dan paip keluli tahan karat yang mampu menahan suhu tinggi, tekanan tinggi, bahan berkarat, dan persekitaran yang melampau.
Produk berkenaan digunakan dalam pelbagai industri yang melibatkan penghantaran cecair, termasuk minyak dan gas, petrokimia, kimia, semikonduktor, rawatan air, dan pembinaan kapal.
Dalam pada itu, Tan berkata butiran cadangan pelaksanaan tarif tersebut masih tidak jelas dan agak umum dan kebiasaannya ia menyasarkan pengeluar keluli serta aluminium di peringkat huluan, sementara Pantech Global beroperasi di sektor hiliran.
Pada Ahad Trump mengumumkan cadangan secara rasmi mengenakan tarif ke atas import keluli dan aluminium, serta tarif balik balas ke atas negara yang mengenakan cukai terhadap barangan AS.
Sementara itu, Pantech Global menyasarkan untuk mengumpul kira-kira RM178.32 juta melalui tawaran awam permulaan (IPO) menjelang penyenaraiannya di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada 3 Mac. Ia menandakan penyenaraian IPO pertama di Pasaran Utama untuk 2025.
IPO Pantech Global melibatkan penerbitan 262.23 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 68 sen sesaham. Berdasarkan modal saham terbitan yang diperbesar sebanyak 850 juta saham dan pada harga IPO, ia akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM578.00 juta selepas penyenaraian.
Sebanyak 21.25 juta saham IPO akan disediakan untuk permohonan oleh orang awam Malaysia.
Pantech Global merancang untuk menggunakan 37.75 peratus atau RM67.32 juta daripada hasil IPO untuk pengembangan perniagaan dan 36.27 peratus (RM64.68 juta) bagi perbelanjaan modal, termasuk membina kilang baharu untuk memperluaskan pengeluaran alat paip dan membina pejabat korporat di Selangor.
Ia bercadang mendirikan gudang baharu di Johor bagi meningkatkan keupayaan dan membuka kemudahan pengolahan baharu untuk menampung paip yang lebih panjang.
Tan berkata baki daripada hasil IPO sebanyak 12.74 peratus (RM22.72 juta) akan digunakan sebagai modal kerja, 8.41 peratus (RM15 juta) untuk membayar pinjaman bank, dan 4.83 peratus (RM8.6 juta) untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.
Pantech Global terutamanya menyediakan perkhidmatan kepada pelanggan di AS, Malaysia, Taiwan, Indonesia, Kanada, dan Eropah, yang secara keseluruhan menyumbang sebanyak 93.80 peratus dan 92.01 peratus daripada jumlah hasilnya bagi tahun kewangan berakhir 29 Februari 2024, dan enam bulan pertama yang berakhir pada 31 Ogos 2024.
Alliance Islamic Bank Bhd adalah penasihat utama, penaja jamin, dan ejen penempatan untuk urusan IPO Pantech Global.
-- BERNAMA