Oleh Vijian Paramasivam
PHNOM PENH, 10 Feb (Bernama) – Malaysia terus mengambil langkah penting selepas mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN untuk memperkukuh kerjasama perundangan dan meneroka kepentingan bersama dalam reformasi institusi serta undang-undang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Datuk Seri Azalina Othman Said hari ini memulakan lawatan kerja rasmi ASEAN ke Kemboja bagi menggalakkan kerjasama serantau dalam bidang perundangan.
"Agenda utama lawatan ini adalah untuk mempromosikan pembangunan timbang tara dan pengantaraan komersial antarabangsa dalam kalangan negara anggota ASEAN, memandangkan keperluan terhadap rangka kerja penyelesaian pertikaian yang kukuh dan harmoni menjadi semakin kritikal sejajar dengan pertumbuhan pesat ekonomi ASEAN," katanya kepada media di Phnom Penh pagi ini.
"Sehubungan itu, Malaysia kekal komited untuk menjadikan ASEAN sebagai hab yang diyakini dalam bidang timbang tara dan pengantaraan, selaras dengan amalan terbaik global," katanya.
Azalina dijadual mengadakan mesyuarat dua hala dengan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kehakiman Kemboja, Koeut Rith, hari ini.
Malaysia juga akan menjadi tuan rumah Forum Undang-Undang ASEAN 2025 dengan sokongan Sekretariat ASEAN, negara anggota ASEAN dan Jepun selaku rakan dialog Mesyuarat Pegawai Kanan Undang-Undang ASEAN (ASLOM).
"Forum ini akan menjadi platform utama bagi mengukuhkan kerjasama perundangan serantau, mempertingkatkan akses kepada keadilan dan memperkasa integrasi ekonomi menerusi mekanisme penyelesaian pertikaian yang berkesan," katanya.
Selain memperkembangkan landskap penyelesaian pertikaian alternatif, forum itu juga akan meneroka isu perundangan semasa termasuk keselamatan dalam talian, jenayah siber, ketakmampuan bayar rentas sempadan, undang-undang komersial dan tadbir urus yang baik.
"Malaysia kekal komited untuk bekerjasama dengan rakan-rakan ASEAN, termasuk Kemboja, dalam membangunkan persekitaran perundangan yang lebih terjamin dan mesra perniagaan, sekali gus memperkukuh kedudukan ASEAN sebagai destinasi perdagangan serta pelaburan antarabangsa yang berdaya saing dan boleh dipercayai.
Misi ini merupakan satu lagi langkah dalam memperkukuh kerjasama perundangan dua hala antara Malaysia dan Kemboja serta menekankan dedikasi Malaysia dalam memacu reformasi perundangan serantau yang menyokong pertumbuhan ekonomi, kestabilan dan tadbir urus baik dalam ASEAN," kata Azalina.
Malaysia akan menjadi tuan rumah Sidang Kemuncak ASEAN ke-46 tahun ini.
-- BERNAMA