AM

Jumlah Mangsa Banjir Di Sabah, Sarawak Menurun Petang Ini

10/02/2025 06:23 PM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Sabah dan Sarawak terus menunjukkan trend penurunan dengan 2,483 mangsa berada di pusat pemindahan sementara (PPS) setakat petang ini  berbanding 2,757 mangsa pagi tadi.

Di SABAH, Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah dalam kenyataan memaklumkan  jumlah mangsa berkurang kepada 1,197 orang daripada 373 keluarga setakat 4 petang ini berbanding 1,223 orang daripada 382 keluarga pagi tadi.

"Seramai 685 orang daripada 226 keluarga ditempatkan di tiga PPS di Beaufort, 260 orang (64 keluarga) di dua PPS daerah Kinabatangan manakala 252 orang (83 keluarga) di sebuah PPS daerah Membakut," menurut kenyataan itu.

Selain itu, sebanyak 18 kampung terjejas banjir dengan 13 daripadanya di Membakut, tiga di Beaufort dan dua di Kinabatangan.

"Trend pemindahan mangsa banjir di Beaufort dan Kinabatangan menurun dengan mangsa mula pulang ke rumah masing-masing manakala di Membakut kekal," menurut kenyataan itu.

Di SARAWAK, jumlah mangsa menurun kepada 1,286 berbanding 1,534 orang pagi tadi dan bilangan PPS berkurangan kepada 10 berbanding 14 sebelum ini.

Menurut Sekretariat Pengurusan Bencana Sarawak, Bahagian Bintulu masih merekodkan jumlah mangsa tertinggi namun kini menurun kepada 565 orang daripada 612 orang pagi tadi manakala angka di Mukah berkurangan kepada 441 orang berbanding 603 orang sebelum ini.

Jumlah mangsa di Bahagian Miri pula menurun kepada 277 orang berbanding 288 orang sementara Sibu hanya mencatatkan tiga mangsa berbanding 31 orang pagi tadi.

Dalam pada itu, masing-masing satu PPS ditutup di Sibu, Mukah, Bintulu dan Miri.

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391193