POLITIK

169 ‘Thaneer Panthal’ Bangkitkan Suasana Sambutan Thaipusam Di Pulau Pinang

10/02/2025 08:23 PM

GEORGE TOWN, 10 Feb (Bernama) -- Sebanyak 169 Thaneer Panthal atau gerai yang dihias indah didirikan sepanjang laluan menuju ke kuil Sri Arulmigu Balathandayuthapani di Jalan Kebun Bunga di sini sempena sambutan perayaan Thaipusam esok.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Pulau Pinang A. Kumaresan berkata gerai yang mengedarkan makanan vegetarian dan minuman secara percuma kepada penganut itu melibatkan penyertaan pelbagai agensi dan syarikat swasta termasuk universiti tempatan.

Beliau berkata kira-kira 50 ahli MPN PKR terdiri daripada pelbagai kaum terlibat menjadi sukarelawan bagi membuat persiapan menghias, memasak hinggalah mengedarkan 10,000 makanan percuma kepada penganut dan pengunjung.

“Memang setiap tahun kita dirikan gerai minuman dan tahun ini 10,000 pek makanan disediakan, yang dibuat selama dua hari bermula hari ini sehingga esok.

“Pengedaran makanan dibuat secara tiga sesi iaitu makan pagi, tengahari dan minum petang tetapi untuk esok sehingga makan malam. Kita telah mula masak sejak semalam lagi untuk diedarkan kepada penganut dan pengunjung yang hadir,” katanya ketika ditemui di Jalan Utama di sini hari ini.

Terdahulu, Kumaresan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Uban dan barisan pimpinan negeri Pulau Pinang menyertai Ketua Menteri Chow Kon Yeow meninjau persiapan akhir Thaipusam serta lawatan ke Thaneer Panthal di Jalan Utama.

Sementara itu, Pengerusi Lembaga Wakaf Hindu Pulau Pinang (PHEB) RSN Rayer yang turut hadir berkata persiapan telah dimulakan sejak dua minggu lepas dengan kesemua gerai dihiasi dengan pelbagai dekorasi bagi menarik perhatian orang ramai terutamanya pelancong.

“Sambutan setakat ini dilihat amat meriah dan kami menjangkakan 1.5 juta penganut dan pelancong akan membanjiri Pulau Pinang bersempena Thaipusam.

“Sehubungan itu, saya meminta semua yang datang supaya menghormati adat resam Thaipusam bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku. Kita juga minta supaya tidak minum minuman keras dan kepada wanita jangan pakai barang kemas serta patuh kepada arahan pihak polis,” katanya.

Chow ketika ditemui pula berharap semua lapisan masyarakat dapat mengamalkan sikap toleransi supaya keharmonian kaum di negeri ini dipelihara seterusnya hidup dalam suasana aman damai.

Beliau berkata meskipun Thaipusam disambut oleh penganut Hindu, namun ia turut dihadiri masyarakat kaum lain termasuk pelancong asing.

“Saya berharap masyarakat hidup secara aman, mempraktikkan toleransi dan diharap juga tahun ini sambutan berjalan lancar tanpa sebarang insiden walaupun dengan jumlah kehadiran yang ramai. Pulau Pinang kini semakin terkenal sebagai negeri yang mengamalkan sikap terbuka melalui sambutan pelbagai perayaan agama yang berlangsung meriah serta menjadi tarikan pelancong,” katanya.

Penganut Hindu akan menyambut Thaipusam esok bagi memperingati peristiwa Dewa Murugan menerima lembing suci daripada ibunya Dewi Parvati bagi menghapuskan kuasa jahat Soorapadman dan mengembalikan kemakmuran serta kesejahteraan manusia.

Di Malaysia, Thaipusam turut disambut secara besar-besaran di kuil Sri Subramaniar Swamy Batu Caves, Selangor, Kuil Arul Subramaniar di Ipoh, Perak dan Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam, Sungai Petani, Kedah.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391255