AM

Malaysia Kekal Kedudukan Ke-57 Dalam Indeks Persepsi Rasuah Global 2024

11/02/2025 05:08 PM

KUALA LUMPUR, 11 Feb (Bernama) -- Kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2024 kekal di tangga ke-57, sama seperti 2023, menurut Transparency International Malaysia (TI-M).

Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan pada pengumuman kedudukan Malaysia dalam indeks berkenaan di sini hari ini, berkata skor negara juga tidak berubah tahun lepas, iaitu 50 mata.

Dalam kalangan negara ASEAN, Malaysia berada pada kedudukan kedua terbaik selepas Singapura yang memperoleh 84 mata, diikuti Vietnam dengan 40 mata, serta Indonesia (37), Thailand (34), Filipina (33), Laos (33), Kemboja (21) dan Myanmar (16).

CPI itu berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.

Tahun ini, Denmark, Finland dan Singapura merupakan tiga negara teratas yang dianggap sebagai negara "bersih" daripada ancaman rasuah manakala Venezuela, Somalia dan Sudan Selatan berada pada kedudukan paling bawah indeks berkenaan.

Muhammad turut memuji beberapa perkembangan positif yang dilaksanakan kerajaan tahun lepas untuk memerangi rasuah, antaranya pelantikan Ketua Setiausaha Negara yang baharu, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang memperjuangkan Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional (NACS) dan mengetuai visi CPI untuk mencapai kedudukan ke-25 teratas menjelang 2033.

Inisiatif utama lain termasuk kelulusan Akta Audit (Pindaan) 1957 (Akta 62) di Parlimen pada Julai 2024, pindaan Akta Pemegang Amanah untuk mencegah salah laku oleh badan pemegang amanah, dan semakan terhadap Akta Syarikat bagi menguatkuasakan pendedahan mandatori Beneficial Ownership Transparency – dengan keperluan untuk menjadikan pendaftaran didedahkan kepada umum bagi meningkatkan ketelusan, katanya.

Bagaimanapun, beliau berkata terdapat empat kemungkinan skor Malaysia tidak berubah antaranya persepsi dalam kalangan perniagaan bahawa rasuah masih menjadi masalah dalam sektor awam.

Beliau berkata untuk mencapai kedudukan ke-25 dalam CPI seperti yang disasarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menjelang 2033, memerlukan usaha dan komitmen daripada semua pihak.

"Bagi mencapai matlamat itu, kita perlu memperoleh skor 68-70 mata yang bermakna setiap tahun kita mesti meningkatkan skor sekurang-kurangnya dua mata," katanya.

Sementara itu, Pengarah Kanan Bahagian Perancangan Governans Nasional (BPGN) Datuk Idris Zaharudin yang turut hadir berkata hasil analisis ini akan dibentangkan kepada Pasukan Petugas Khas CPI yang ditubuhkan tahun lepas.

"Kita akan membuat analisis berhubung isu yang diumumkan hari ini sebelum membawa perkara itu kepada pasukan petugas khas ini (CPI) yang dipengerusikan oleh Ketua Setiausaha Negara dan selepas itu baru kita keluarkan kenyataan," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 

 

KEYWORDS
     
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391462