KUCHING, 12 Feb (Bernama) -- Kerajaan Sarawak hari ini memeterai perjanjian jual beli dengan Malaysia Aviation Group (MAG), sekali gus memuktamadkan pengambilalihan MASwings yang kini dinamakan sebagai AirBorneo.
Pemeteraian perjanjian bagi syarikat penerbangan baharu negeri itu disaksikan oleh Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan beberapa menteri peringkat Persekutuan dan kerajaan Sarawak.
Perjanjian itu telah ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Sarawak Datuk Amar Mohamad Abu Bakar Marzuki manakala MAG diwakili oleh Pengarah Urusannya, Datuk Kapten Izham Ismail.
Susulan pengambilalihan itu, Abang Johari mengumumkan AirBorneo sebagai nama baharu MASwings.
“AirBorneo bakal mewujudkan keseimbangan antara kesalinghubungan, tambang berpatutan serta manfaat ekonomi.
“Sejajar kedudukannya yang beroperasi sebagai syarikat penerbangan perkhidmatan penuh (FSC), AirBorneo secara ketara dapat meningkatkan pengalaman penumpang menerusi perkhidmatan dalam pesawat yang superior,” kata Abang Johari.
Beliau menyifatkan kerajaan Sarawak telaah membuat keputusan pelaburan yang berani dalam pengambilalihan MASwings dan sejajar dengan komitmen untuk meningkatkan kesalinghubungan serantau dan melonjakkan pertumbuhan ekonomi negeri itu.
“Menerusi tindakan strategik ini, kita meletakkan Sarawak untuk menjadi hab penerbangan bagi Borneo dan gerbang ASEAN, membuka laluan kepada peluang baharu selain memupuk kesalinghubungan dan akses lebih baik ke destinasi tempatan dan antarabangsa yang akan memberi manfaat kepada masyarakat dan perniagaan setempat,” katanya.
Abang Johari turut memberi jaminan AirBorneo akan mengekalkan tumpuan terhadap perkhidmatan udara luar bandar sebelum mengembangkan lagi operasi di masa depan.
"Perkhidmatan udara luar bandar dengan memberi subsidi kepada laluan kurang menguntungkan, akan memastikan kawasan terpencil ini dapat dihubungkan ke seluruh dunia," katanya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada syarikat induk MAG iaitu Khazanah Nasional selain MAG dan Kementerian Pengangkutan di atas kerjasama erat dan sokongan padu sepanjang proses pengambilalihan MASwings.
"Kerjasama ini tidak berakhir di sini kerana dijangkakan lebih banyak usaha sama dalam masa terdekat," katanya.
-- BERNAMA