PASARAN

FBM KLCI Lepasi Paras Tertinggi 1,600 Dalam Tempoh Sebulan

12/02/2025 08:13 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia pulih hari ini untuk mengakhiri pada paras tertinggi dalam tempoh sebulan selepas jualan sesi sebelumnya, dirangsang oleh kenaikan saham wajaran tinggi di tengah-tengah prestasi positif bursa serantau walaupun prestasi bercampur-campur di Wall Street semalaman.

"Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) ditutup pada paras tertinggi hariannya iaitu pada 1,603.05, meningkat sebanyak 13.10 mata atau 0.8 peratus disokong oleh pemburuan saham pada harga rendah dalam perbankan, telekomunikasi, perladangan dan utiliti.

FBM KLCI dibuka 2.37 mata lebih tinggi kepada 1,592.32 daripada 1,589.95 ketika ditutup pada Isnin.

Di pasaran lebih meluas, bagaimanapun, pasaran kekal negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung iaitu sebanyak 534 berbanding 492 manakala 480 kaunter tidak berubah, 812 tidak diniagakan dan 10 lagi, digantung.

Jumlah dagangan naik kepada 3.15 bilion unit bernilai RM2.66 bilion daripada 3.0 bilion unit bernilai RM1.85 bilion pada Isnin. 

Sementara itu, Ketua Penyelidikan Pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Sdn Bhd Mohd Sedek Jantan berkata lonjakan yang berlaku hari ini dalam FBM KLCI diperkukuh menerusi keterangan Pengerusi Rizab Persekutuan (Fed) Amerika Syarikat (AS) Jerome Powell apabila beliau memberi isyarat Fed tidak tergesa-gesa untuk menurunkan lagi kadar faedah.

"Memandangkan perkembangan ini, kami menjangkakan kebanyakan bank pusat di Asia termasuk Bank Negara Malaysia akan mengekalkan dasar kadar faedah semasa dalam tempoh terdekat," katanya.

Dengan Fed dijangka mengekalkan kadar faedah, Mohd. Sedek menjangkakan pemulihan berterusan dalam saham bermodal besar terutamanya yang terlebih jual.

"Ini sepatutnya memberikan dorongan lebih lanjut untuk trajektori menaik FBM KLCI. Bagaimanapun, sektor teknologi mungkin berdepan cabaran dalam persekitaran kadar faedah yang 'lebih tinggi untuk lebih lama' di AS," katanya.

Mohd Sedek juga berkata berdasarkan data yang ada, ekonomi Malaysia untuk 2024 akan melebihi daripada unjuran terdahulu iaitu 5.1 peratus oleh Jabatan Perangkaan Malaysia.

Bacaan tersebut akan dikeluarkan pada Jumaat.

Di luar negara, pelabur akan memantau dengan teliti data inflasi utama AS termasuk indeks harga pengguna teras dan indeks harga pengeluaran yang dijadualkan dikeluarkan pada 8:30 pagi (waktu AS) pada Rabu, selain tajuk utamanya mengenai dasar tarif AS.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank menambah 14 sen kepada RM10.60, CelcomDigi naik 13 sen kepada RM3.93, SD Guthrie menokok 18 sen kepada RM4.98, Public Bank bertambah lima sen kepada RM4.50 dan Petronas Gas berkembang 44 sen kepada RM17.76.

Hanya empat daripada 30 komponen indeks mencatatkan penurunan.

Petronas Chemicals merosot 19 sen kepada RM4.14, Axiata susut lima sen kepada RM2.23, 99 Speed Mart turun empat sen kepada RM2.26 dan MR DIY merosot tiga sen kepada RM1.65.

Dalam kalangan kaunter aktif, TWL turun setengah sen kepada 2.0 sen, MyEG meningkat tiga sen kepada RM1.04, RGB International naik 3.5 sen kepada 43.5 sen manakala Harvest Miracle, Ingenieur Gudang, dan CIMB masing-masing kekal pada 16 sen, 5.5 sen dan RM8.40.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas melonjak 68.11 mata kepada 12,192.12, Indeks FBMT 100 berkembang 78.25 mata kepada 11,895.36 dan Indeks FBM Emas Shariah menokok 43.94 mata kepada 11,978.00.

Indeks FBM 70 meningkat 43.76 mata kepada 19,980.29 manakala Indeks FBM ACE turun 13.48 mata kepada 5,217.31.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan naik 175.29 mata kepada 19,434.40 dan Indeks Perladangan menambah 115.80 mata kepada 7,516.54.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Industri turun 1.84 mata kepada 164.27 dan Indeks Tenaga susut 7.10 mata kepada 818.27.

Jumlah dagangan Pasaran Utama melonjak kepada 1.79 bilion unit bernilai RM2.39 bilion daripada 1.38 bilion unit bernilai RM1.51 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran bagaimanapun merosot kepada 870.64 juta unit bernilai RM101.43 juta daripada 930.27 juta unit bernilai RM116.54 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran ACE pula turun kepada 487.90 juta unit bernilai RM173.12 juta daripada 688.14 juta unit bernilai RM222.62 juta pada Isnin.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna meliputi 201.53 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (268.58 juta), pembinaan (104.65 juta), teknologi (203.38 juta), SPAC (tiada), perkhidmatan kewangan (116.56 juta), hartanah (551.69 juta), perladangan (551.69 juta), REIT (15.37 juta), dana tertutup (2,000), tenaga (121.89 juta), penjagaan kesihatan (52.76 juta), telekomunikasi dan media (37.51 juta), pengangkutan dan logistik (15.68 juta), utiliti (73.51 juta) serta amanah perniagaan (660,000).

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2391844