KANGAR, 12 Feb (Bernama) -- Sejumlah 48,000 daripada 122,062 murid Tahun Satu di negara ini yang dikenal pasti tidak boleh membaca kini berupaya membaca hasil Program Intervensi Kurikulum Kementerian Pendidikan (KPM) yang dilaksanakan Mac tahun lepas.
Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Dr Rusmini Ku Ahmad berkata menerusi program itu, guru-guru di sekolah membantu murid Tahun Satu yang masih belum boleh membaca atas pelbagai faktor itu sehingga mereka mampu membaca, menulis dan mengira.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis peluncuran Program Anak Kita: SPM 2025 peringkat negeri Perlis yang disempurnakan Raja Muda Perlis Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail di sini hari ini.
Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil dan hadir sama Pengarah Pendidikan Perlis Rose Aza Che Arifin.
Sementara itu, ketika berucap pada majlis peluncuran itu, Rusmini berkata Program Anak Kita adalah manifestasi komitmen kerajaan dalam mendukung pendidikan inklusif yang memberikan peluang saksama kepada semua murid termasuk mereka yang memerlukan sokongan tambahan.
"KPM juga telah melaksanakan transformasi pendidikan sebagai laluan ke arah sistem pendidikan yang lebih saksama, inklusif, relevan dan berdaya saing. Anjakan paradigma kaedah pengajaran berasaskan teknologi maklumat dalam program ini berupaya menarik minat murid untuk meneroka ilmu dengan lebih mendalam," katanya.
Beliau berkata KPM amat memberikan perhatian kepada pelaksanaan pendidikan untuk semua dengan membangunkan pelbagai dasar dan garis panduan bermatlamat merapatkan jurang bagi mengelakkan keciciran pendidikan.
-- BERNAMA