KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Bursa Malaysia mengakhiri dagangan pagi Khamis dalam wilayah negatif, seiring prestasi kebanyakan pasaran serantau susulan data inflasi Amerika Syarikat (AS) yang mengatasi jangkaan awam dan berkemungkinan melengahkan tindakan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah.
Pada 12.30 tengah hari, indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) susut 6.23 mata kepada 1,596.82 daripada 1,603.05 pada akhir dagangan semalam.
Indeks petunjuk pasaran itu dibuka susut 1.07 mata lebih rendah kepada 1,601.98 dan seterusnya bergerak dalam julat 1,592.20 hingga 1,605.48.
Kaunter rugi mengatasi untung iaitu 517 berbanding 325 manakala 442 kaunter tidak berubah, sebanyak 1,034 tidak diniagakan dan 23 lain digantung dagangannya.
Jumlah dagangan sebanyak 1.52 bilion unit bernilai RM1.03 bilion.
Naib Presiden Penyelidikan Ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata Indeks Harga Pengguna (IHP) AS bagi Januari 2025 meningkat sebanyak 0.5 peratus yang menjadi kenaikan terbesar sejak Ogos 2023 manakala IHP teras naik 0.4 peratus.
Tekanan inflasi itu menyumbang kepada penyusutan Wall Street pada akhir dagangan manakala kertas Perbendaharaan 10 tahun AS meningkat 4.627 peratus, katanya.
Di peringkat tempatan, saham wajaran tinggi perbankan CIMB mendahului kaunter rugi apabila susut 11 sen kepada RM8.29, Maybank turun empat sen kepada RM10.56 dan Hong Leong Bank menguncup 20 sen kepada RM20.44.
Pada masa sama, SD Guthrie rugi 10 sen kepada RM4.88 dan IHH merosot enam sen kepada RM7.22.
Bagi saham aktif, Ingenieur Gudang dan Aizo tidak berubah masing-masing pada 5.5 sen dan 12 sen.
Silver Ridge turun dua sen kepada 55.5 sen, RGB International meraih dua sen kepada 45.5 sen dan Harvest Miracle turun setengah sen kepada 15.5 sen.
Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas merosot 40.26 mata kepada 12,151.86, Indeks FBMT 100 turun 38.98 mata kepada 11,856.38 manakala Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 28.08 mata kepada 11,949.92.
Indeks FBM 70 susut 30.45 mata kepada 17,949.84 manakala Indeks FBM ACE turun 9.50 mata kepada 5,207.81.
Prestasi sektor menyaksikan Indeks Perkhidmatan Kewangan menguncup 114.52 mata kepada 19,319.88, Indeks Perladangan turun 29.21 mata kepada 7,487.33, Indeks Tenaga berkurangan 3.53 mata kepada 814.74 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian naik 0.27 mata kepada 164.54.
-- BERNAMA