AM

MAIWP Perlu Perkasa Penggunaan Teknologi Digital Dalam Tadbir Urus Islam - Na'im

13/02/2025 04:29 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) perlu memperkasakan penggunaan teknologi digital dalam tadbir urus Islam serta melestarikan kesejahteraan sosial ummah, selaras dengan lima agenda yang ditetapkan tahun ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar berkata ia penting dalam memastikan sistem pengurusan dan pentadbiran yang lebih efisien, telus serta bertanggungjawab dapat diberikan kepada umat Islam.

“Penggunaan teknologi digital dapat meningkatkan pengurusan zakat, wakaf dan hal ehwal agama Islam secara lebih cekap dan berkesan.

“Penggunaan teknologi juga membolehkan data dan maklumat dikemas kini dengan lebih teratur serta mudah diakses oleh masyarakat, selain memudahkan pemantauan dan pengurusan yang lebih baik,” katanya  dalam ucapan pada Majlis Amanat dan Warkah Penyiaran Kenaikan Pangkat Pekhidmat MAIWP di sini hari ini.

Turut hadir pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Mohd Nizam Yahya dan Pengerusi MAIWP Syed Kamarulzaman Syed Kabeer.

Lima agenda yang ditetapkan kepada semua agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) adalah mengangkat pembangunan al-Quran dan hadis; ⁠meningkatkan kefahaman dan penghayatan Islam; ⁠memperkukuh aplikasi teknologi dalam tadbir urus; ⁠melestari kesejahteraan sosial ummah dan memperkasa perpaduan ummah dan keharmonian tamadun.

 Mohd Na'im berkata MAIWP juga perlu memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam membuat hebahan mengenai usaha dan inisiatif yang dilaksanakan selain berharap majlis agama Islam itu akan  meningkatkan lagi usaha menangani isu kemiskinan menerusi dasar pembangunan potensi umat Islam dalam bidang ekonomi, sosial, pendidikan, kerohanian dan akhlak di Wilayah Persekutuan.

Mohd Na’im berkata tahun ini diisytiharkan sebagai Tahun Kualiti MAIWP yang akan memfokuskan mengenai peningkatan kualiti kerja dan perkhidmatan antaranya melibatkan usaha pencegahan rasuah serta pengurusan agihan zakat yang lebih baik.

Pada majlis berkenaan, beliau turut menyampaikan warkah penyiaran kenaikan pangkat pekhidmat MAIWP kepada 42 tenaga kerja MAIWP.

Sementara itu, pada sidang media, Mohd Na'im menasihatkan rakyat supaya menggunakan media sosial untuk memperkukuhkan perpaduan selain mengelakkan daripada berlakunya perpecahan antara kaum dan agama.

"Kita hendak menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara yang berjaya dari sudut ekonomi dan ini tidak akan mampu untuk kita capai kalau masyarakatnya sentiasa tidak bersatu padu dan bermusuhan antara satu sama lain terutamanya dalam media sosial.

"Jadi saya harap masyarakat di luar sana akan sentiasa berhati-hati dalam menyentuh sesuatu isu," katanya.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392137