AM

Melaka Sedia Beri Sokongan Kepada PBT Tingkat Sistem Penyampaian, Kualiti Perkhidmatan

13/02/2025 06:00 PM

JASIN, 13 Feb (Bernama) -- Kerajaan Melaka menerusi Pusat Penyelidikan, Inovasi, Perkomersilan dan Keusahawanan (RICE) Melaka @UTeM sedia memberi sokongan kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri itu dalam menghasilkan idea dan inisiatif baharu bagi memantapkan sistem penyampaian dan kualiti perkhidmatan.

Exco Sains Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan berkata ia termasuk khidmat nasihat, memberi pandangan dan sokongan teknikal dalam menilai kesahihan inovasi teknologi yang dibangunkan berdasarkan kepakaran dimiliki RICE Melaka @ UTeM.

"Usaha ini juga dilihat dapat memperhebat kecekapan perkhidmatan kepada rakyat dalam memberikan perkhidmatan yang lebih berkesan serta memenuhi kehendak pelanggan.

"Perkembangan pesat era digital masa kini menjadikan (tugasan) jabatan dan agensi kerajaan lebih mencabar, justeru semua pihak perlu lebih peka dengan perkembangan semasa Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) dan inovasi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau menyempurnakan Majlis Perasmian Penutup Karnival ICT dan Inovasi Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di Dewan Alamanda yang turut dihadiri Yang Dipertua MPJ Mohd Shaiful Hizam Johan.

Fairul Nizam berkata karnival dianjurkan MPJ itu merupakan satu platform strategik untuk berkongsi pengalaman dan cabaran semasa selain meneroka teknologi terkini dan akan datang.

Beliau berkata ia juga dapat membentuk kerjasama dan sinergi antara jabatan atau agensi ke arah melonjakkan sistem penyampaian perkhidmatan kerajaan melalui ICT dan inovasi yang melangkaui harapan pengguna dan pemegang taruh.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392199