GAYA HIDUP

Tengku Permaisuri Selangor Serikan Pertunjukan Fesyen Hikayat Ariani

13/02/2025 07:18 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin hari ini berkenan berangkat menghadiri Pertunjukan Fesyen Hikayat Ariani di Grand Ballroom Kuala Lumpur Convention Centre di sini. 

Ketibaaan baginda pada 3.05 petang disambut Ketua Pegawai Eksekutif Ariani Datin Seri Farah Haryani. 

Baginda meluangkan masa kira-kira dua jam menyaksikan pertunjukan fesyen yang memperagakan 158 rekaan baju raya terdiri daripada baju kurung, jubah, kurta dan baju Melayu yang ditawarkan gedung pakaian itu sempena sambutan lebaran awal April ini. 

pic-2

Sebanyak 300 rekaan baju raya ditawarkan meliputi baju kurung, jubah, kurta dan baju Melayu dengan pelbagai corak, warna serta material untuk pelbagai lapisan umur.

Jenama itu turut memperkenalkan 11 duta baharu bagi kempen raya antaranya Siti Khadijah, Siti Saleha, Amyra Rosli, Mawar Rashid, Uqasha Senrose, Amar Baharin, Naim Danial dan Roy Azman. 

pic-3

Majlis dihangatkan dengan pertunjukan fesyen oleh selebriti lelaki antaranya Datuk Rahim Razali, Datuk Fizz Fairuz, Edika Yusoff, Arash Mohamad, Rusdi Ramli, Sham Visa, Roy Azman dan Zarul Umbrella yang menggayakan persalinan baju Melayu dan kurta. 

Pada majlis itu turut diumumkan kolaborasi istimewa antara Ariani dengan gedung fesyen Liberty London yang berpangkalan di ibu negara United Kingdom itu.

Acara turut diserikan dengan persembahan penyanyi popular tanah air antaranya Datuk Amy Search, Datuk Awie, Ziana Zain dan Dayang Nurfaizah. 

-- BERNAMA 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392259