EKONOMI

JS-SEZ: Kementerian Ekonomi Garis Tiga Perancangan Jangka Panjang Elak Kesesakan Lalu Lintas

14/02/2025 01:54 PM

KUALA LUMPUR, 14 Feb (Bernama) — Kerajaan menggariskan tiga perancangan jangka panjang bagi mengekang kesesakan lalu lintas yang berpotensi berlaku disebabkan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu berkata antara perancangan tersebut ialah meningkatkan kapasiti pelepasan dan melaksanakan lorong automatik secara berfasa, tertakluk kepada keperluan dan peraturan kedua-dua negara Malaysia dan Singapura. 

“Selain itu, kerajaan juga meneroka mod pengangkutan alternatif berdaya maju secara komersial dan memenuhi keperluan peraturan seperti keselamatan dan sekuriti bagi setiap negara. 

“Kerajaan juga berusaha membangunkan ketersambungan lancar dengan memperkukuh rangkaian pengangkutan tempatan di Malaysia bagi menyokong JS-SEZ,” menurut kementerian dalam jawapan bertulis di laman sesawang Parlimen.

Kementerian Ekonomi berkata demikian bagi menjawab soalan Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) yang ingin mengetahui adakah wujud penggunaan dana awam di dalam pelaksanaan projek JS-SEZ) dan apakah perancangan jangka masa panjang kerajaan bagi mengekang kesesakan lalu lintas yang berpotensi berlaku disebabkan JS-SEZ.

Sementara itu, ia berkata kerajaan Malaysia telah mewujudkan dana pemudahcara (infrastruktur) berjumlah RM5 bilion yang antara lain akan digunakan untuk menyokong pembangunan kawasan JS-SEZ.

“Pertimbangan untuk penggunaan dana adalah tertakluk kepada dasar dan prioriti kerajaan manakala kerajaan Singapura pula akan memperkenal satu bentuk sokongan pembiayaan tersendiri bagi memudahkan pengembangan operasi syarikat-syarikat Singapura yang mahu beroperasi di kawasan JS-SEZ,” katanya. 

Pada 7 Januari lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim bersama Perdana Menteri Singapura Lawrence Wong menyaksikan pertukaran perjanjian bersama antara Malaysia dan Singapura mengenai JS-SEZ. 

JS-SEZ merangkumi kawasan pembangunan Iskandar, Forest City, Pengerang Integrated Petroleum Complex dan Desaru dengan keluasan tanah 357,128 hektar.

Wilayah pembangunan Iskandar turut meliputi Pusat Bandaraya Johor Bahru, Iskandar Puteri, Tanjung Pelepas-Tanjung Bin, Pasir Gudang, Senai-Skudai dan Sedenak.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392375