JENAYAH & MAHKAMAH

Pasangan Warga China Didakwa Berhubung Kekecohan Di KLIA2

14/02/2025 03:35 PM

SEPANG,  14 Feb (Bernama) -- Pasangan warga China didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini berhubung kejadian kekecohan di Lapangan Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 2 pada 9 Feb lepas. 

Xu Jianfeng, 27 dan isterinya Shi Qian, 28, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Fuad Othman.

Mengikut kertas pertuduhan, pasangan itu ketika berada di Gate Q5 KLIA Terminal 2 dengan sengaja mendatangkan kegusaran orang lain dengan melakukan perbuatan lucah di tempat awam dengan cara membuka baju.

Pertuduhan mengikut Seksyen 294(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih tiga bulan atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya Nurul Faraheen Yahya manakala tertuduh diwakili peguam Chew Sin Yee.

Ahmad Fuad kemudian membenarkan pasangan itu diikat jamin RM5,000 setiap orang dengan seorang penjamin selepas Chew memohon mahkamah menetapkan jumlah jaminan munasabah. 

Hakim menetapkan 17 Feb ini untuk sebutan semula kes. 

Semalam, media melaporkan pasangan warga China yang membuat kekecohan di pesawat yang hendak berlepas ke Jieyan Chaosan, China, di KLIA Terminal 2 pada 9 Feb ditahan polis selepas mereka disahkan tidak mengalami sebarang masalah mental.

Timbalan Ketua Polis Daerah KLIA Supt Albany Hamzah berkata pasangan berkenaan sebelum ini berkelakuan agresif dan tidak siuman ketika di dalam pesawat yang hendak berlepas.

 -- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392490