AM

N.Sembilan Sedia 26,548 Rumah Mampu Milik Sejak 2018 - Aminuddin

14/02/2025 05:05 PM

SEREMBAN, 14 Feb (Bernama) -- Kerajaan Negeri Sembilan telah menyediakan 26,548 unit Rumah Mampu Milik (RMM) setakat ini di kawasan tumpuan penduduk dan tinggi permintaan termasuk di daerah ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata daripada jumlah itu, sebanyak 8,788 RMM Type A yang berharga RM80,000 lulus Kebenaran Merancang di seluruh Negeri Sembilan dan 9,231 unit Type B serta 8,529 unit Type C sejak Jun 2018.

“Bermula 1 Feb lepas, kerajaan negeri juga bersetuju membuat penambahbaikan ke atas Dasar Perumahan Negeri Sembilan sedia ada bagi memastikan pembeli rumah dan pemaju bersama-sama menerima manfaat pembinaan RMM Type A seiring dengan keperluan harga pasaran semasa.

"Daripada 50 peratus komponen RMM tersebut, sebanyak 20 peratus adalah bagi RMM Type A yang berharga maksimum RM80,000 telah dinaikkan kepada RM110,000 dengan kelayakan pendapatan kasar bagi seisi rumah dinaikkan daripada RM3,500 kepada RM4,500,” katanya pada Majlis Pengundian RMM Type A Taman Arowana di sini hari ini. 

Beliau berkata sebanyak 15 peratus lagi adalah RMM Type B berharga tidak melebihi RM250,000 dan baki 15 peratus adalah RMM Type C (i) dengan harga tidak melebihi RM400,000 dan RMM Type C (ii) yang berharga tidak melebihi RM450,000.

Sementara itu, Aminuddin berkata projek RMM Type A Taman Arowana berada di peringkat 100 peratus bagi pembinaan bangunan dan 90 peratus bagi kerja-kerja infrastruktur dan dijangka boleh diduduki pada Mei depan.

Beliau berkata selain projek RMM, kerajaan negeri juga memperkenalkan Program Rumah Harapan Rakyat pada  2021 dengan kemudahan pinjaman tanpa faedah bagi rumah bernilai RM75,000 kepada golongan B40 yang masih belum memiliki rumah dan ingin membina rumah setingkat di atas tanah masing-masing. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2392534