SUBANG JAYA, 15 Feb (Bernama) -- Datuk Mohd Joehari Mohd Ayub diumum sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) baharu hari ini bagi menggantikan Tan Sri Hamidin Mohd Amin yang tidak mempertahankan jawatan disandangnya sejak 2018.
Mohd Joehari yang sebelum ini menggalas tugas sebagai naib presiden badan induk itu, menang tanpa bertanding selepas menjadi calon tunggal untuk jawatan utama pada kongres pemilihan FAM bagi penggal 2025-2029 yang berlangsung hari ini.
Datuk Mohd Yusoff Mahadi dan Datuk S Sivasundaram pula mempertahankan jawatan Timbalan Presiden apabila turut diumumkan menang tanpa bertanding oleh Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan FAM Prof Datuk Dr Abdullah Mohamad Said.
Mohd Joehari dalam ucapannya sempena pemilihan itu menzahirkan penghargaan atas lantikannya dan memaklumkan beliau telah bersedia untuk menggalas tanggungjawab yang ditinggalkan Hamidin, yang digelarnya sebagai bapa bola sepak moden Malaysia.
Bagi jawatan Naib Presiden pula, FAM menampilkan tiga muka baharu yang meraih undian tertinggi iaitu Datuk Mohd Azhar Jamaluddin (17 undi), Datuk Dollah Salleh (16 undi) dan N Saaran (13 undi) manakala Datuk Seri Rosmadi Ismail mengekalkan jawatannya dengan 17 undi.
Lapan kekosongan bagi Exco lelaki diisi Datuk Zainal Abidin Hassan (18 undi), Hishamuddin Abdul Karim (17 undi), Datuk Hisamudin Yahaya (16 undi), Tang Chee Hong (11 undi), Mohd Azizudin Mohd Shariff (16 undi), Datuk Kamarudin Hassan (11 undi), Datuk Dr P Sugumaran (11 undi) dan Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri (11 undi).
Sementara bagi exco wanita, Datuk Suraya Yaacob (10 undi) dan Dr Siti Faidul Maisarah Abdullah (15 undi) mengisi dua kekosongan jawatan itu.
Untuk rekod, Hamidin dilantik Presiden FAM buat kali pertama pada Julai 2018 bagi menggantikan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang meletakkan jawatan.
Bekas Setiausaha Agung FAM itu kemudiannya berjaya mempertahankan jawatan sebagai Presiden FAM untuk penggal 2021-2025, selepas menang tanpa bertanding pada Kongres FAM ke-57.
-- BERNAMA