AM

"TikTok Shop LIVE Hub", Perkasa Kemahiran E-dagang Peniaga PMKS - Ewon

17/02/2025 03:35 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Pelancaran TikToK Shop LIVE Hub pertama di Penampang, Sabah hasil kerjasama Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga (TEKUN) Nasional hari ini bakal menjadi pemangkin dalam memperkasakan golongan peniaga mikro, kecil, dan sederhana (PMKS), khususnya di negeri itu.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick menyifatkan pelancaran itu sebagai langkah penting dalam memacu pembangunan ekosistem e-dagang negara sekali gus membantu pertumbuhan perniagaan digital tempatan.

“Ini akan membuka lebih banyak peluang untuk peniaga kecil dan sederhana serta mencipta ruang inovatif bagi pencipta kandungan tempatan.

“Selain itu, kerjasama ini turut membuka ruang kepada pemilik perniagaan mendapat pembiayaan dan latihan yang diperlukan bagi membangunkan perniagaan mereka di dunia digital," katanya dalam satu kenyataan hari ini. 

Beliau berkata kerjasama ini juga turut menyasarkan penyediaan 12 studio LIVE Hub di beberapa negeri termasuk Sabah, Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Johor, Kelantan dan Sarawak dalam masa beberapa bulan akan datang.

Sementara itu, Pengarah Kerjasama Strategik TikTok Shop Malaysia Nur Azre Abdul Aziz berkata pelancaran LIVE Hub itu di Sabah hari ini, merupakan pencapaian penting dalam kerjasama berterusan pihaknya memperkasakan usahawan PMKS tempatan dengan peralatan serta pengetahuan yang diperlukan untuk berkembang dalam ekonomi digital.

"Pelaburan kami membuktikan komitmen jangka panjang TikTok Shop untuk membina ekosistem inklusif yang memberi impak positif kepada ekonomi negara.

Dalam beberapa bulan akan datang, kami akan meluaskan lagi TikTok Shop LIVE Hub kami ke beberapa negeri termasuk Kuala Lumpur, Kelantan, Johor, Penang, dan Sarawak, dengan tujuan untuk memperkukuhkan sokongan kami kepada lebih banyak PMKS dan usahawan tempatan dalam mengembangkan perniagaan mereka melalui penstriman langsung

Untuk menjayakan inisiatif ini, TikTok Shop Malaysia akan melaburkan hampir RM3 juta bagi membangunkan dan mengoperasikan TikTok Shop LIVE Hub ini di Malaysia. Usaha ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan PMKS tempatan menjana pendapatan baharu, membina hubungan lebih erat dengan pelanggan, dan memacu pertumbuhan perniagaan mampan melalui Shoppertainment," katanya.

Tambah Nur Azre, golongan peniaga tempatan di Sabah juga menerima manfaat melalui kolaborasi ini dalam pelbagai aspek seperti pemasaran digital, pengurusan inventori serta kaedah menggunakan platform TikTok Shop sebagai saluran jualan yang efektif.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393028