KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam kini diperingkat akhir untuk dimuktamadkan dan dijangka akan dapat diwartakan sebelum akhir tahun ini.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata RUU itu, merupakan sebahagian usaha kerajaan untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) dengan menambah baik proses pentadbiran kerajaan secara menyeluruh.
“Draf akhir RUU kini sedang diteliti oleh Pejabat Peguam Negara dan kita sasarkan sebelum hujung tahun ini, ia akan dapat diwartakan,” katanya kepada pemberita selepas rakaman program Bicara Naratif terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) di Wisma Berita RTM, di sini hari ini.
Pada pembentangan Belanjawan 2025, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI bertekad melaksanakan reformasi perkhidmatan awam yang menjunjung prinsip tatakelola yang baik bagi memacu produktiviti.
Anwar berkata RUU Iltizam Kecekapan Pentadbiran Awam akan digubal, meliputi tiga anjakan besar iaitu mengurangkan birokrasi, mempercepat proses dan meningkatkan kecekapan perkhidmatan
Agenda Reformasi Perkhidmatan Awam menumpukan kepada lima keberhasilan meliputi Nilai dan Tatakelola, Pembangunan Modal Insan, Pembangunan Organisasi, Penyampaian Perkhidmatan dan Sinergi Strategik Awam dan Swasta.
Shamsul Azri berkata kerajaan komited untuk meningkatkan kedudukan Malaysia dalam CPI, dengan meletakkan sasaran negara berada dalam kelompok 25 terbaik menjelang 2033.
Beliau berkata bagi merealisasikan sasaran tersebut, pelbagai inisiatif telah diambil termasuk mewujudkan Pasukan Petugas Khas Reformasi Agensi (STAR) untuk melaksanakan Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB).
KSN berkata untuk tahun lepas, sebanyak 160 proses dalam perkhidmatan awam telah dipermudah dan jumlah itu disasarkan meningkat kepada 400 proses pada tahun ini.
Shamsul Azri yang juga Pengerusi Institut Integriti Malaysia (IIM) turut menekankan kepentingan dua inisiatif utama yang sedang dilaksanakan IIM tahun ini, iaitu Indeks Integriti Malaysia (INTEX) dan Strategi Memperkasakan Nilai Integriti Kebangsaan (NIH), yang bertujuan membudayakan integriti sebagai sebahagian daripada kehidupan masyarakat Malaysia, sekali gus membantu meningkatkan kedudukan negara dalam CPI.
Dalam pada itu, ditanya mengenai peranan yang boleh dimainkan media dalam membudayakan integriti dalam perkhidmatan awam, beliau berkata media perlu dilibatkan dalam menyampaikan inisiatif yang dilaksanakan kerajaan kepada rakyat.
Shamsul Azri berkata antara elemen penting dalam reformasi perkhidmatan awam yang diperkenalkan sejak 10 Sept tahun lepas ialah mengenai keterlibatan media untuk menyebarluaskan maklumat mengenai usaha kerajaan dalam meningkatkan integriti.
“Kerajaan telah melakukan banyak perkara yang baik, namun usaha ini kurang dipromosikan secara menyeluruh.
“Oleh itu, saya merayu kepada semua kementerian dan agensi untuk menjalinkan hubungan erat dengan media, agar rakyat dapat memahami usaha yang dilakukan kerajaan dalam memastikan agenda integriti berada di tahap tertinggi,” katanya.
Transparency International Malaysia (TI-M) pada 11 Feb, mengumumkan Malaysia kekal pada kedudukan ke-57 dalam CPI bagi tahun 2024, dengan skor 50 mata.
CPI itu berdasarkan 13 tinjauan dan penilaian pakar yang mengukur tahap persepsi rasuah dalam sektor awam di 180 negara dan wilayah di seluruh dunia.
Terdahulu, selain Shamsul Azri, program Bicara Naratif dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dan Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan sebagai ahli panelnya.
-- BERNAMA