KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Polis telah menahan seorang wanita berusia 61 tahun yang sebelum ini tular di media sosial kerana disyaki mencuri wang berjumlah RM2,500 ketika majlis perkahwinan dekat Kampung Tasek Berangan di Pasir Mas, baru-baru ini.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas ACP Kama Azural Mohamed berkata turut ditahan bersama wanita warga emas terbabit ialah seorang lelaki berusia 62 tahun, ketika mereka bersama menaiki sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sri Cemerlang, di sini, pada 5.04 petang hari ini.
“Hasil pemeriksaan mendapati suspek wanita warga emas itu mempunyai 10 rekod jenayah lampau termasuk di Kelantan, Terengganu serta Perak, dan mengaku telah mencuri duit berjumlah RM2,500 milik pengadu ketika kenduri perkahwinan di rumah terbabit.
“Manakala, suspek warga emas lelaki pula memiliki satu rekod lampau di Kota Bharu,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata kedua-dua suspek akan disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan permohonan reman ke atas suspek akan dibuat di Mahkamah Majistret Pasir Mas esok.
Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), mendapati seorang wanita yang menyamar sebagai tetamu untuk menumpang tandas sebelum melarikan wang tunai milik pengadu berusia 59 tahun ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan, Pasir Mas pada 1 Feb.
-- BERNAMA