JENAYAH & MAHKAMAH

Wanita Warga Emas Disyaki Curi Wang Majlis Kahwin Direman Empat Hari

17/02/2025 01:26 PM

PASIR MAS, 17 Feb (Bernama) -- Seorang wanita warga emas yang tular di media sosial baru-baru ini kerana disyaki mencuri wang RM2,500 pada majlis perkahwinan di sebuah rumah di Kampung Tasek Berangan di sini, direman empat hari bagi membantu siasatan.

Perintah reman hingga 20 Feb terhadap wanita berusia 61 tahun itu dikeluarkan Majistret Mohd Izdham Naim Che Ani di Mahkamah Majistret di sini hari ini.

Turut direman bersama suspek ialah seorang lelaki yang juga warga emas berusia 62 tahun dipercayai rakannya untuk disiasat di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan.

Semalam, polis menahan kedua-dua suspek tersebut ketika mereka bersama menaiki sebuah teksi jenis Nissan Sentra dalam keadaan mencurigakan di Jalan Sri Cemerlang, Kota Bharu pada 5.04 petang.

Sebelum ini, tular di media sosial video berdurasi 38 saat menerusi rakaman kamera litar tertutup (CCTV), memaparkan seorang wanita menyamar sebagai tetamu menumpang menggunakan tandas di sebuah rumah ketika majlis perkahwinan di Kampung Tasek Berangan  pada 1 Feb lepas, sebelum melarikan wang tunai RM2,500 milik pengadu berusia 59 tahun. 

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393251