EKONOMI

Kerajaan Persekutuan Perakui Aspirasi Sarawak Ceburi Industri Minyak Negeri - PM Anwar

17/02/2025 02:50 PM

KUALA LUMPUR, 17 Feb (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak memperakui aspirasi Sarawak yang berhasrat menceburi kegiatan industri minyak di negeri berkenaan, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini. 

Beliau berkata hasrat itu dipaparkan menerusi Ordinan Pengagihan Gas 2016 (Pindaan) (DGO) dan berkuat kuasa pada 1 Mac, 2025. 

“DGO dibaca sekali dengan Akta Kemajuan Petroleum 1974 (PDA), maka Petros (Petroleum Sarawak Bhd) berperanan sebagai agregator di Sarawak," kata beliau pada Sesi Penerangan Perdana Menteri di Dewan Rakyat hari ini. 

Menjelaskan selanjutnya, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata peranan itu tetap mengesahkan kelulusan sebelumnya kepada Petroliam Nasional Bhd (Petronas) dan anak-anak syarikatnya. 

“Ini bermakna Petronas akan mengekalkan semua perjanjian (obligasi berkontrak) domestik dan antarabangsa yang sedia ada," kata Anwar. 

Di bawah ordinan itu, Petros dijamin memperoleh gas asli sehingga 1.2 bilion kaki padu sehari untuk keperluan domestik Sarawak dengan jaminan penambahan berdasarkan keperluan berikutnya. 

Perdana Menteri berkata Petros juga berhak meluaskan kegiatan yang baharu dan memanfaatkan kerjasama dengan Petronas. 

"Petronas dan Petros akan bergerak sederap (serentak) sebagai rakan bagi menjamin kepentingan dan hasil negara serta kepentingan negeri Sarawak; dan segala rundingan terperinci berikutnya akan mengekalkan manfaat dan kepentingan bersama mengikut prinsip komersial secara telus," kata beliau. 

Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sarawak juga, kata beliau, turut mengiktiraf Akta PDA 1974 sebagai Akta Persekutuan seperti yang tertera dalam peruntukan undang-undang.

Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata Petronas telah menyempurnakan tugas dengan menjamin pengagihan kepada semua negeri. 

Merujuk Sarawak, Anwar beliau berkata manfaat pembangunan industri minyak dan gas di Sarawak merangkumi pelaburan huluan dan infrastruktur berjumlah melebihi RM280 bilion sejak 1976.

“Daripada jumlah pelaburan huluan tersebut, dianggarkan lebih RM90 bilion nilai kontrak yang dibelanjakan dalam tempoh 10 tahun lepas (2014-2024.

“Syarikat vendor berdaftar dari Sarawak telah mendapat kontrak melebihi RM40 bilion dalam tempoh sama,” kata beliau.

Dari segi pulangan kewangan, Perdana Menteri berkata Sarawak telah menerima bayaran tunai sebanyak RM49 bilion (sehingga Disember 2024) bagi sumber petroleumnya serta bayaran cukai jualan sebanyak RM18.66 bilion sehingga suku ketiga 2024. 

Sarawak turut memperoleh dividen sebanyak RM28.6 bilion sehingga Disember 2024 melalui pegangan saham “State Financial Secretary of Sarawak” (SFS) dalam Syarikat Kumpulan MLNG.

SFS merupakan sebuah syarikat yang diperbadankan di bawah “State Financial Secretary (Incorporation) Ordinance, 1948,” kata Anwar.

-- BERNAMA

KEYWORDS
      
RELATED NEWS
MORE NEWS
© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393269