KUALA TERENGGANU, 17 Feb (Bernama) -- Seorang bekas guru besar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tujuh pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM28,632.60.
Bagi pertuduhan pertama dan kedua, Zalina Bidin, 47, didakwa melibatkan diri secara langsung dalam transaksi hasil daripada aktiviti haram dengan memberikan arahan untuk memindahkan wang berjumlah RM7,200 dan RM3,288 kepada akaun penerima yang diarahkan.
Kesalahan itu didakwa dilakukan di dua bank berasingan di sini pada Ogos dan Oktober 2022 mengikut Seksyen 4(1) (a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Bagi lima lagi pertuduhan, dia didakwa menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM18,144.60 yang dimasukkan ke dalam akaun Maybank miliknya pada Ogos, Oktober dan November 2022, di bawah Seksyen 4(1)(b) AMLATFPUAA 2001 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.
Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun, denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Ahmad Feisal Mohd Azmi dan Maziah Mohaide manakala tetuduh diwakili peguam Mohd Hazwan Hamidun.
Hakim Mohd Azhar Othman membenarkan Zalina diikat jamin RM30,000 serta syarat tambahan perlu melaporkan diri di pejabat SPRM Terengganu setiap bulan, menyerahkan pasport kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan sepanjang kes berjalan dengan sebutan semula kes ditetapkan 23 Mac depan.
-- BERNAMA