JOHOR BAHRU, 17 Feb (Bernama) -- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menahan 130 warga asing serta dua majikan rakyat tempatan dalam operasi yang dijalankan serentak di beberapa daerah di negeri ini pada Jumaat lepas.
Pengarah Imigresen negeri Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus berkata di Johor Bahru pihaknya menahan 90 warga asing berusia 21 hingga 54 tahun setelah memeriksa 18 premis termasuk kilang dan penempatan pekerja.
Sementara itu, beliau berkata seramai sembilan pekerja asing dan dua majikan warga tempatan ditahan dalam Op Gegar di pusat refleksologi di Batu Pahat manakala 12 warga asing berusia 18 hingga 55 tahun ditahan di tujuh lokasi berbeza di Mersing.
“Seramai 12 lagi warga asing berusia 21 hingga 43 tahun ditahan di Muar dan tujuh warga asing berusia 23 hingga 40 tahun ditahan di Segamat dalam serbuan di tiga pusat refleksologi.
“Keseluruhan warga asing yang ditahan dalam operasi kali ini melibatkan 36 lelaki Bangladesh, 23 lelaki dan lima wanita Myanmar, 17 lelaki dan 17 wanita Indonesia, 15 lelaki Pakistan, enam wanita Vietnam, lima wanita Thailand, empat wanita China serta dua lelaki warga India,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas Mohd Rusdi, kesemua warga asing itu ditahan kerana melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, seterusnya akan ditempatkan di Depoh Imigresen Pekan Nenas untuk tindakan lanjut.
“Sebanyak 12 notis hadir ke pejabat Imigresen telah dikeluarkan bagi membantu siasatan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, seramai 105 warga asing berusia 18 hingga 54 tahun ditahan dalam Op Sapu di penempatan rumah kongsi di Batu Pahat sekitar 1 hingga 3 pagi semalam.
Seramai 329 pekerja asing diperiksa dan mereka yang ditahan terdiri 77 lelaki Bangladesh, 16 lelaki dan tujuh wanita Indonesia, masing-masing dua lelaki Myanmar dan Pakistan serta seorang warga India.
“Kesemua mereka disyaki melakukan kesalahan di bawah Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki pas atau permit yang sah untuk berada di Malaysia dan Seksyen 15(1)(c) akta yang sama kerana tinggal lebih masa,” katanya.
-- BERNAMA