AM

Dua Remaja Dikhuatiri Lemas Cuba Ambil Bola Dalam Sungai

17/02/2025 08:15 PM

IPOH, 17 Feb (Bernama) -- Dua pelajar lelaki sekolah menengah berusia 16 tahun dikhuatiri lemas semasa cuba mengambil bola di dalam sungai di Kampung Tepus dekat Parit hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak Sabarodzi Nor Ahmad berkata kedua-dua mangsa merupakan pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Muhammad Shah, Parit.

Beliau berkata pihaknya menerima panggilan pada 4.21 petang sebelum sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Parit digegaskan ke lokasi kejadian sejauh 11 kilometer.

"Dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), penduduk kampung turut membantu pencarian dengan menggunakan bot nelayan, manakala anggota bomba menggunakan bot aluminium.

"Operasi turut mendapat bantuan daripada anggota Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) BBP Kuala Kangsar dan BBP Pulau Pangkor," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sabarodzi berkata keadaan cuaca adalah mendung dengan air sungai berarus deras dan operasi SAR masih diteruskan ketika ini.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393470