SINGAPURA, 17 Feb (Bernama) -- Mahkamah Negara Singapura pada Isnin mengenakan denda maksimum S$7,000 (S$1=RM3.30) terhadap Ketua Pembangkang Pritam Singh bagi setiap dua pertuduhan berbohong kepada jawatankuasa parlimen, atau hukuman penjara sebulan bagi setiap pertuduhan sekiranya gagal membayar denda.
Hakim Daerah Luke Tan, dalam penghakiman lisan menyatakan mahkamah perlu menghantar mesej jelas mengenai kepentingan memberikan keterangan yang benar semasa di bawah ikrar sumpah.
"Beliau (Singh) seorang peguam yang sepatutnya tahu dan memahami implikasi berbohong ketika memberi keterangan di bawah sumpah," katanya.
Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) itu didakwa pada 19 Mac 2024 mengikut Seksyen 31(q) Akta Parlimen (Keistimewaan, Kekebalan dan Kuasa) (PPIPA) kerana sengaja memberikan jawapan palsu semasa sesi siasatan oleh Jawatankuasa Hak Istimewa Parlimen (COP), dibaca bersama Seksyen 36(1)(b) PPIPA.
Pertuduhan terhadap Singh berkaitan keterangannya di hadapan COP, yang ditubuhkan pada November 2021 untuk menyiasat kontroversi pembohongan melibatkan bekas Ahli Parlimen WP, Raeesah Khan.
Raeesah, yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Sengkang (Kawasan Perwakilan Kumpulan) (GRC) Sengkang, telah memberitahu Parlimen pada 3 Ogos 2021 bahawa beliau menemani seorang mangsa rogol membuat laporan polis dan mendakwa pegawai polis yang menemu bual mangsa telah memberikan komen mengenai pakaian serta pengambilan alkohol oleh mangsa.
Beliau kemudiannya mengakui di Parlimen bahawa dakwaan itu tidak benar.
Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Peguam Negara Ang Cheng Hock, manakala Singh diwakili peguam Andre Jumabhoy dan Aristotle Emmanuel Eng Zheng Yang dari Andre Jumabhoy LLC.
Menurut Perlembagaan Singapura, seseorang Ahli Parlimen boleh hilang kelayakan sekiranya dijatuhi hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada S$10,000.
Bagaimanapun, keputusan mahkamah pada Isnin tidak menjejaskan status Singh sebagai Ahli Parlimen atau peluangnya untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang, yang perlu diadakan selewat-lewatnya November tahun ini.
Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD) dalam satu kenyataan menjelaskan bahawa di bawah Perkara 45(1)(e) Perlembagaan, kehilangan kelayakan sebagai Ahli Parlimen bergantung pada hukuman yang dijatuhkan bagi satu kesalahan tunggal.
"Jika seseorang didakwa atas beberapa kesalahan, dan hukuman bagi setiap kesalahan tidak mencapai had kelayakan iaitu hukuman penjara tidak kurang daripada satu tahun atau denda tidak kurang daripada S$10,000, individu itu tidak hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen," menurut kenyataan itu.
ELD turut menjelaskan bahawa hukuman bagi kesalahan berasingan tidak boleh digabungkan bagi tujuan penentuan kelayakan.
Sementara itu, Singh memaklumkan kepada media bahawa beliau telah mengarahkan pasukan guamannya untuk memfailkan rayuan dan berhasrat bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.
“Kami akan meneliti penghakiman bertulis dan membuat keputusan sewajarnya. Memandangkan proses rayuan masih berjalan, saya tidak mahu mengulas lanjut,” katanya.
-- BERNAMA