AM

Sumbangan RM1.3 Juta Bantu Fasa Pemulihan Banjir Di Sarawak

17/02/2025 09:37 PM

KUCHING, 17 Feb (Bernama) -- Sejumlah RM1.3 juta sumbangan berbentuk barangan keperluan disalurkan kepada kira-kira 20,000 mangsa banjir di Sarawak sekali gus membantu fasa pemulihan pascabanjir negeri itu.

GLC Demi Rakyat dan Negara (GDRN) dalam kenyataan hari ini memaklumkan inisiatif berkenaan melibatkan penghantaran 5,000 Kit Keluarga Bantu GDRN kepada penduduk terjejas bencana itu.

“Kit itu mengandungi peralatan elektrik, tilam, tuala dan kain sarung yang akan diagihkan ke tiga kawasan utama di Sarawak melalui pejabat residen bahagian.

“Inisiatif bantuan itu dijangka memanfaatkan lebih 20,000 individu menerusi pemberian barang isi rumah bagi membantu mereka membina semula kehidupan,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu memaklumkan sejumlah 2,500 kit telah sampai di Bintulu manakala 1,500 kit dan 1,000 kit masing-masing akan dihantar ke Miri dan Kuching.

“Misi ini adalah sebahagian daripada inisiatif sokongan Monsun Timur Laut di seluruh Malaysia dengan GDRN telah menyumbang RM24 juta bagi memperkukuh usaha pemulihan pascamonsun di peringkat nasional,” menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA



 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393513