SUKAN

Piala Cabaran: Permohonan PDRM Aksi Final Kedua Di Stadium MBPJ Diluluskan

18/02/2025 06:47 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Liga Bolasepak Malaysia (MFL) telah meluluskan permohonan juara bertahan PDRM FC untuk mengadakan perlawanan akhir kedua Piala Cabaran di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada Sabtu ini.

Keputusan itu sekali gus menyaksikan The Cops, yang tewas pada final pertama Sabtu lepas, sekali lagi perlu bermain di gelanggang lawan berbanding Stadium Majlis Perbandaran Selayang yang menjadi venue tuan rumah pasukan itu musim ini.

“PDRM FC selaku pasukan tuan rumah telah mengemukakan permohonan pertukaran venue kerana Stadium MBPJ memenuhi kriteria dan piawaian venue perlawanan akhir,” menurut kenyataan MFL hari ini.

Pada pertembungan final pertama di Stadium MBPJ Sabtu lalu, Selangor yang beraksi dengan 10 pemain berjaya mencatat kemenangan 3-2 ke atas PDRM.

Skuad Gergasi Merah bimbingan Katsuhito Kinoshi berpeluang menamatkan kemarau panjang menjulang trofi kejuaraan selepas kali terakhir melakukannya ketika muncul juara Piala Malaysia buat kali ke-33 pada 2015.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393852