AM

KDN Tambah Baik SOP Permohonan Warganegara Selaras Pindaan Perlembagaan Persekutuan

18/02/2025 08:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Feb (Bernama) -- Prosedur operasi standard (SOP) bagi pemprosesan permohonan kewarganegaraan dipinda dan diselaraskan bagi memastikan pelaksanaannya selari dengan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2024 yang diluluskan sidang Dewan Rakyat lepas, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah.

Beliau berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam perancangan untuk menambah baik SOP di bawah Perkara 15(2), pada tahun ini.

“SOP ini adalah bagi anak-anak warganegara Malaysia berumur di bawah 21 tahun yang tidak dilahirkan sebagai warganegara tetapi layak memohon berdasarkan hubungan kekeluargaan sekiranya salah seorang ibu dan bapanya adalah seorang warganegara.

“SOP ini dijangka disiapkan pada tahun ini dengan tempoh pemprosesan permohonan selama setahun,” katanya menjawab soalan Hassan Abdul Karim (PH-Pasir Gudang), mengenai isu permohonan kewarganegaraan pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata susulan pindaan Perlembangaan Persekutuan itu, KDN menjalankan kajian dan semakan terhadap perundangan, kaedah serta peraturan berkaitan dan telah mengenal pasti 13 perundangan yang berkaitan secara langsung dengan kewarganegaraan memerlukan pindaan susulan.

Shamsul Anuar berkata sebagai langkah proaktif, KDN turut mengeluarkan SOP permohonan kewarganegaraan di bawah Perkara 15A Perlembagaan Persekutuan bagi individu berumur bawah 21 tahun.

“Selain itu, pada 30 Sept 2024, KDN mengeluarkan SOP bagi permohonan kewarganegaraan secara naturalisasi di bawah Perkara 19(1) Perlembagaan Persekutuan, yang berkuat kuasa mulai 1 Jan 2025, melalui SOP baharu ini, proses permohonan dan tempoh masa pemprosesan telah ditetapkan selama setahun,” katanya.

Shamsul Anuar berkata Pasukan Petugas Khas Pindaan Berkaitan Undang-Undang Kewarganegaraan juga ditubuhkan untuk meneliti, menyemak dan membuat pindaan berkaitan peruntukan Bahagian III serta Bahagian I, II dan III dalam Jadual Kedua Perlembagaan Persekutuan, Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964, perundangan lain serta perkara berkaitan keimigresenan.

Beliau berkata sesi konsultasi dan libat urus diadakan berterusan dengan pihak berkepentingan termasuk Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) bagi memastikan pandangan dan input semua pihak diambil kira.

“Oleh itu, adalah wajar pasukan petugas khas ini diberi tempoh masa selama enam bulan bagi penyediaan draf matriks dan enam bulan lagi bagi penyediaan draf perundangan sebelum pindaan Perlembagaan Persekutuan ini berkuat kuasa,” katanya.

Berhubung cadangan supaya JKPK diberi kuasa untuk memantau serta mengkaji keberkesanan SOP yang dibangunkan, Shamsul Anuar berkata KDN berpandangan tiada keperluan khusus untuk jawatankuasa itu mengawal selia prosedur SOP kewarganegaraan.

“Bagi pemohon yang ingin mendapatkan maklumat atau nasihat berkaitan permohonan kewarganegaraan, KDN tidak mempunyai SOP yang terlalu ketat. Pemohon boleh hadir sama ada dengan janji temu atau secara datang terus ke mana-mana pejabat Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di seluruh negara,” katanya.

Shamsul Anuar berkata menerusi penambahbaikan SOP baharu, pemohon akan dimaklumkan terlebih dahulu sekiranya permohonannya tidak lengkap sebelum ia dikemukakan kepada pihak JPN untuk diproses dan sekiranya permohonan ditolak, pemohon boleh mengemukakan permohonan baharu di mana-mana cawangan JPN berhampiran.

“KDN ingin menjelaskan bahawa tidak semua pemohon mempunyai locus standi untuk memohon kewarganegaraan Malaysia kerana ia ditentukan berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Kaedah-Kaedah Kewarganegaraan 1964.

“Walaupun permohonan boleh dikemukakan individu yang layak, ia tidak menjamin kerajaan akan meluluskan permohonan tersebut, kerana penganugerahan kewarganegaraan Malaysia adalah anugerah tertinggi Kerajaan Malaysia yang tidak diberikan sewenang-wenangnya,” katanya.

Beliau berkata sehingga 31 Dis tahun lepas, sebanyak 1,896 permohonan diterima melibatkan kategori pemegang MyPR (Kad Pengenalan Pemastautin Tetap) yang dilahirkan atau tiba di Persekutuan sebelum merdeka, pemegang MyPR yang tidak mempunyai permit masuk dan pemegang MyPR kategori anak angkat.

“Daripada jumlah tersebut, sebanyak 984 permohonan sedang dalam proses di KDN, manakala 318 permohonan dalam proses di JPN. Jumlah keseluruhan permohonan dalam proses sebanyak 1,302 manakala selebihnya sebanyak 594 permohonan telah pun selesai diproses di semua peringkat,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393862