AM

Sultan Selangor, Tengku Permaisuri Berangkat Ke Majlis Santapan Malam Sidang DUN

18/02/2025 11:58 PM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah dan dan Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Norashikin berangkat Majlis Santapan Malam sempena Istiadat Pembukaan Persidangan Penggal Ketiga Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor ke-15 tahun 2025, di sini hari ini.

Turut berangkat pada majlis berkenaan ialah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah.

Ketibaan baginda bertiga disambut Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari dan Setiausaha Kerajaan Selangor Datuk Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin.

Speaker DUN Selangor Lau Weng San dalam sembah ucapannya berkata Pejabat DUN Selangor dalam rancangan menambah baik portal rasmi DUN Selangor, menerusi pembangunan sistem carian hansard secara elektronik yang lebih pantas dan mesra pengguna.

Beliau berkata sistem itu adalah kesinambungan daripada pewujudan sistem carian bagi jawapan dan soalan dewan serta enakmen DUN Selangor, yang telah dilaksanakan sebelum ini.

“Penambahbaikan sebegini akan dilaksanakan dari semasa ke semasa demi menjadikan portal ini lebih menarik, interaktif, dan mudah digunakan oleh orang ramai,” kata Lau.

Selain itu, Lau turut mengingatkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk menjaga disiplin dengan penuh tanggungjawab, terutamanya berkaitan kehadiran dan pematuhan terhadap kod etika pemakaian sepanjang persidangan DUN berlangsung.

“Sebagai ADUN, kita adalah contoh teladan kepada masyarakat. Kita perlu memikul amanah dan integriti yang tinggi, kerana persidangan ini ditonton oleh pelawat yang hadir serta rakyat Selangor melalui siaran langsung di pelbagai platform digital.

“Oleh itu, menjadi tanggungjawab kita untuk menyampaikan perkara-perkara yang membawa manfaat dan kesejahteraan kepada rakyat serta memacu kejayaan negeri Selangor,” katanya.

Persidangan DUN Selangor berlangsung bermula hari ini hingga 21 Feb, 24 hingga 28 Feb serta 3 Mac. 

-- BERNAMA

 

 


 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393951