AM

BAP Ringankan Beban Pusat Perlindungan Anak Yatim Biayai Keperluan Persekolahan

19/02/2025 12:24 PM

Oleh Zafri Razali

KUANTAN, 19 Feb (Bernama) -- Setiap kali sesi persekolahan baharu menjelang, cabaran besar menanti pusat perlindungan anak yatim dalam memastikan setiap penghuni mendapat kelengkapan yang sewajarnya termasuk pakaian seragam, alat tulis dan buku.

Di Pertubuhan Kebajikan Baitul Husna, Kampung Pelindung, Beserah, persiapan sekolah bukan sekadar membeli keperluan, tetapi juga satu perancangan rapi yang memerlukan sumber kewangan mencukupi. 

Pengurusnya Zuraida Ismail berkata pusat itu yang beroperasi sejak 2010 menjadi tempat perlindungan 30 anak yatim dan fakir berusia antara lapan hingga 18 tahun dari seluruh negara, namun kebergantungan kepada sumbangan orang ramai seringkali mengehadkan keupayaan mereka menyediakan keperluan lebih menyeluruh. 

“Kami menerima banyak sumbangan berbentuk makanan dan pakaian harian, manakala bantuan kewangan pula agak terhad, menjadikan perancangan perbelanjaan lebih mencabar,” katanya kepada Bernama. 

 Beliau berkata apabila sesi persekolahan baharu bermula, setiap penghuni memerlukan sekurang-kurangnya RM400 hingga RM500 untuk mendapatkan pakaian seragam, buku dan alat tulis, justeru Bantuan Awal Persekolahan (BAP) RM150 bagi setiap pelajar sedikit sebanyak meringankan beban kewangan pusat itu.

“Jumlah itu belum cukup untuk menampung keseluruhan keperluan, jadi pihak pengurusan biasanya merancang pembelian lebih awal dalam mendapatkan barangan secara pukal bagi menjimatkan kos,” katanya. 

Seorang penghuni pusat itu, Mariam (bukan nama sebenar), 15, berkata dia yakin pihak pengurusan memanfaatkan wang BAP yang diterima dengan sebaiknya untuk keperluan mereka.

“Tidak timbul isu ketirisan wang BAP di sini kerana kami diperlihatkan bagaimana ia dibelanjakan. Apa-apa yang masih boleh pakai, kami pakai lagi… duit itu hanya digunakan untuk perbelanjaan penting sahaja,” katanya yang bercita-cita menjadi ahli forensik. 

Setakat 10 Jan, Kementerian Pendidikan (KPM) telah selesai menyalurkan BAP sebanyak RM723,165,300 untuk 4,821,102 murid Tahun Satu hingga pelajar Tingkatan Empat sesi persekolahan 2024/2025. 

Pemberian BAP bagi murid Tahun Satu sesi persekolahan 2025/2026 dan pelajar Tingkatan Enam sedia ada pada sesi persekolahan 2024/2025 pula bermula 16 Feb manakala pelajar baharu Tingkatan Enam sesi persekolahan 2025/2026 akan menerima agihan BAP bermula 1 Julai.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2393993