AM

Pembaikan Bangunan Merah Belum Dapat Kelulusan - Exco Melaka

19/02/2025 10:58 AM

MELAKA, 19 Feb (Bernama) -- Kerajaan Melaka belum mendapat kelulusan daripada Jabatan Warisan Negara bagi pelaksanaan kerja-kerja membaik pulih satu daripada premis di Bangunan Merah di Jalan Laksamana, Banda Hilir di sini yang mengalami kerosakan awal tahun ini.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata permohonan untuk membaikinya telah dikemukakan kepada Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), namun ia mungkin mengambil masa kerana melibatkan pelbagai prosedur.

Bangunan Merah itu berada dalam kawasan tapak warisan bersejarah yang diiktiraf Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO).

"Kita masih menunggu kelulusan Jabatan Warisan Negara bagi memastikan kerja-kerja baik pulih dapat dilakukan mengikut prosedur tanpa merosakkan struktur premis itu. Ia penting sebagai satu usaha memelihara dan memulihara aset warisan negara berusia ratusan tahun itu untuk tatapan generasi akan datang," katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Makan Malam 'National Heritage Conference 2025' anjuran Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP) yang turut dihadiri Presiden MIP Datin Noraida Saludin.

Rais berkata kerja-kerja pembaikan perlu dilakukan segera bagi memastikan kerosakan itu tidak menjadi lebih serius sehingga membabitkan unit lain di deretan premis berkenaan.

Sebelum ini media melaporkan rasuk kayu premis Street Kitchen di Bangunan Merah berkenaan runtuh pada 1 Jan lepas namun insiden itu tidak melibatkan kecederaan pelancong yang lalu lalang di kawasan itu.

Kejadian itu dipercayai berpunca daripada gegaran disebabkan kapasiti kenderaan yang banyak melalui jalan berkenaan khususnya pada hujung minggu dan cuti panjang, sekali gus memberi kesan kepada struktur bangunan lama itu yang kebanyakannya tidak mempunyai struktur binaan yang kukuh dan standard.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394010