DUNIA

China Komited Wujudkan Sistem Tadbir Urus Global Yang Adil Dan Saksama

19/02/2025 01:06 PM

NEW YORK, 19 Feb (Bernama-CMG) -- Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) mengadakan mesyuarat peringkat tinggi mengenai "mengamalkan multilateralisme dan menambah baik tadbir urus global", di sini pada Selasa.

Menteri Luar China Wang Yi ketika mempengerusikan mesyuarat itu berkata tahun 2025 menandakan ulang tahun ke-80 penubuhan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

"Dalam menghadapi perubahan besar pola dunia ketika kini, negara 'Selatan Global' perlu belajar daripada pencapaian lepas dan bergerak seiring ke arah pemodenan, sambil memainkan peranan utama dalam usaha menambah baik sistem tadbir urus global," kata beliau.

Wang pada masa sama menegaskan kepentingan untuk memelihara kesamarataan kedaulatan, keadilan dan solidariti, selain mempromosikan pendekatan berorientasikan tindakan.

Beliau berkata sejak Republik Rakyat China mengambil alih semula kerusi sahnya di PBB, negara itu secara konsisten menyumbang demi tadbir urus global di samping menyediakan pelan penyelesaian China.

"China meneruskan tadbir urus global yang aman dan selamat, memilih pembangunan secara damai, menyelesaikan pertikaian dan perbezaan melalui rundingan, selain komited memainkan peranan yang membina dalam menangani isu global.

"China bersedia bekerjasama dengan pelbagai pihak untuk belajar daripada sejarah, mengukuhkan multilateralisme dan membina sistem tadbir urus global yang lebih adil dan saksama," kata Wang.

Dalam mesyuarat itu, Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres memberikan laporan situasi. Perwakilan peringkat tinggi dari lebih 100 negara, seperti menteri luar, menghadiri mesyuarat berkenaan.

-- BERNAMA-CMG

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394082