KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Kumpulan Perbankan RHB menetapkan sasaran baharu sebanyak RM90 bilion bagi perkhidmatan kewangan mampan (SFS) menjelang 2027 berbanding sasaran lebih awal berjumlah RM50 bilion menjelang 2026.
Pengarah Urusan dan Ketua Pegawai Eksekutif kumpulan Datuk Mohd Rashid Mohamad berkata menerapkan amalan mampan telah menjadi satu keperluan dalam perniagaan.
“Masa depan perniagaan terletak kepada keupayaan untuk beralih kepada amalan mampan, dan sebagai kumpulan perkhidmatan kewangan, kami komited untuk menjadi pemangkin kepada perubahan berkenaan.
“Setelah mencapai kira-kira 85 peratus daripada sasaran perkhidmatan kewangan mampan berjumlah RM50 bilion, kami menyaksikan permintaan yang jelas dan semakin meningkat terhadap modal yang membolehkan peralihan sebenar,” katanya dalam kenyataan.
Mohd Rashid berkata, dengan meningkatkan sasaran kepada RM90 bilion, RHB menggandakan komitmennya untuk memperkasakan perniagaan terutamanya perusahaan kecil dan sederhana untuk mempercepat peralihan mereka kepada amalan rendah karbon.
"Komitmen RM90 bilion ini merupakan aspek utama dalam strategi meluas kami untuk mencapai sifar bersih menjelang 2050 dengan fokus yang kukuh terhadap pembiayaan peralihan dan pelaburan projek hijau," katanya.
Beliau berkata RHB sedang memacu impak menerusi tiga tonggak strategik -- memperluas penyelesaian pembiayaan mampan; memperkukuh perkongsian dan kerjasama industri serta menambah baik alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Menurutnya sebagai antara usaha untuk memperluas penyelesaian pembiayaan mampan, RHB sedang memperkenalkan inisiatif yang disasarkan untuk menyokong perniagaan dalam mengamalkan amalan lebih hijau.
“Ini termasuk jaminan portfolio kemudahan peralihan rendah karbon (LCTF) pertama di Malaysia, yang dihasilkan untuk meningkatkan akses kepada pembiayaan bagi perniagaan yang menerima guna inisiatif hijau.
“Kumpulan ini juga telah memperkenalkan program pembiayaan perdagangan mampan RM1 bilion untuk menyokong projek tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga,” katanya.
-- BERNAMA