PASARAN

Pasaran Getah KL Ditutup Bercampur-campur

19/02/2025 06:56 PM

Oleh Fatin Umairah Abdul Hamid

 KUALA LUMPUR, 19 Feb (Bernama) -- Pasaran getah Kuala Lumpur ditutup bercampur-campur pada Rabu, dipengaruhi oleh penurunan pasaran niaga hadapan getah serantau dan pengukuhan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS), kata peniaga.

Beliau berkata sentimen pasaran global melemah berikutan ancaman tarif baharu AS dan ketegangan perdagangan antara AS-China yang semakin meningkat.

“Bagaimanapun, penurunan selanjutnya dihadkan oleh kenaikan harga minyak mentah dan kebimbangan mengenai kekurangan bekalan getah asli susulan musim daun getah luruh dan cuaca buruk di negara pengeluar.

“Selain itu, harapan bagi langkah rangsangan selanjutnya dari China memberikan sedikit sokongan,” katanya kepada Bernama.

Pada 3 petang, Lembaga Getah Malaysia melaporkan SMR 20 menyusut lima sen kepada 910.5 sen sekilogram, manakala lateks pukal menokok 2.5 sen kepada 690.0 sen sekilogram.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394270