ISTANBUL, 19 Feb (Bernama-Anadolu) -- Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) pada Rabu mengumumkan bahawa kempen vaksinasi polio besar-besaran akan bermula di Gaza pada Sabtu ini, menyasarkan lebih 591,000 kanak-kanak berusia bawah 10 tahun, lapor Anadolu Ajansi (AA).
“Kempen vaksinasi polio besar-besaran dirancang bermula di #Gaza Sabtu ini, 22 Februari, dengan sasaran lebih 591,000 kanak-kanak berumur bawah 10 tahun,” kata Ketua Pengarah WHO Tedros Adhanom Ghebreyesus menerusi hantaran di platform X.
Menurut beliau, kempen itu susulan pengesanan virus polio dalam sampel air sisa baru-baru ini, yang menunjukkan ia sedang beredar dalam persekitaran dan boleh mengancam kesihatan kanak-kanak.
“Kami mengalu-alukan gencatan senjata yang membolehkan kempen ini dijalankan. Kami terus menggesa gencatan senjata berkekalan yang membawa kepada keamanan jangka panjang,” katanya, sambil menegaskan sokongan WHO, Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan rakan kerjasama lain.
Polio merupakan penyakit berjangkit yang boleh menyebabkan kelumpuhan dan kebanyakannya menjejaskan kanak-kanak bawah lima tahun.
WHO dan rakan kerjasamanya terus berusaha mencegah penularan penyakit itu menerusi program vaksinasi di kawasan konflik.
-- BERNAMA-ANADOLU