KOTA BHARU, 20 Feb (Bernama) -- Batalion 8 Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas 20 lembu dipercayai diseludup masuk dari Thailand di Kampung Lalang Pepuyu, Tanah Merah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata kegiatan itu dikesan selepas anggotanya menahan sebuah lori jenis Hino ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan, kira-kira 4.45 petang.
"Pemeriksaan pada lori dipandu lelaki berusia 31 tahun itu menemukan 20 ekor lembu dianggar seberat 10,000 kilogram tanpa dokumen sah.
“Lelaki terbabit dipercayai menjadi penghantar haiwan itu ke pasaran tempatan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata keseluruhan rampasan dianggar berjumlah RM160,000 dan kes disiasat di bawah Seksyen 36(1) Akta Binatang 1953.
-- BERNAMA