AM

Integriti, Profesionalisme Penjawat Awam Elak ‘Perangkap’ Negatif Media Sosial - Hajiji

20/02/2025 03:53 PM

KOTA KINABALU, 20 Feb (Bernama) -- Integriti dan profesionalisme dalam diri penjawat awam menjadi  faktor penting bagi mengelakkan ‘terperangkap’ dalam unsur negatif media sosial terutama penularan yang tidak bertanggungjawab.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata dalam era digital masa kini perkhidmatan diberikan penjawat awam sentiasa menjadi perhatian apabila timbul ketidakpuasan hati, rakaman video, gambar atau cerita mereka mudah ditular serta disebarkan melalui media sosial.

Justeru, Hajiji berkata integriti dan profesionalisme yang sentiasa diperlihatkan penjawat awam penting dalam menangkis tohmahan dalam media sosial itu sekali gus membolehkan mereka memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

“Penjawat awam sama seperti ahli politik ‘CCTV’ (kamera litar tertutup) ada di mana-mana, kadangkala rakyat sendiri jadi CCTV maka kenalah berhati-hati dalam memikul tugas, tanggungjawab yang diamanahkan.

“Era digital dikuasai teknologi rakaman. Setiap langkah tutur kata dirakam tanpa kita sedari Pencerobohan privasi semakin berleluasa, tetapi inilah hakikat hidup era moden, harus waspada daripada terperangkap dalam keaiban,” katanya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Amanat Tahun Baharu Penjawat Awam 2025 di sini yang turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan dan Datuk Seri Dr Joachim Gunsalam, Setiausaha Kerajaan Negeri Sabah Datuk Seri Safar Untong serta Setiausaha Persekutuan Sabah Datuk Seri Rosli Isa.

 Hajiji berkata ketika media sosial semakin berkembang, beliau kesal masyarakat lebih gemar kepada sensasi, fitnah dan adu domba berbanding memberikan perhatian kepada isu seperti agama, ekonomi dan perpaduan yang penting dalam usaha menyejahterakan negara.

Perkembangan kecerdasan buatan (AI) juga memberikan peluang kepada mereka yang tidak bertanggungjawab untuk menggunakan teknologi itu bagi menghasilkan bahan fitnah dan disalah guna bagi kepentingan mereka sendiri.

Justeru, Hajiji menyeru kepada semua pihak supaya menggunakan sebaiknya segala kemudahan dalam era digital ini terutama Internet, media sosial dan AI ke arah kebaikan bagi memajukan rakyat serta negara, dan bukan menjadikan ia sebagai platform menyebarkan fitnah semata-mata.

“Hati-hati ledakan teknologi yang menggugat keharmonian jika tidak digunakan dengan betul terutama untuk penjawat awam, kemajuan teknologi canggih abad ke-21 ini mampu merubah kehidupan manusia,” katanya.

-- BERNAMA

 

 

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394500