SUKAN

Liga Super: TFC Pincang Tanpa Dua Tonggak Utama

20/02/2025 04:53 PM

KUALA NERUS, 20 Feb (Bernama) -- Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Badrul Afzan Razali mengakui persiapan pasukannya untuk menghadapi cabaran Kuching City FC dalam aksi Liga Super malam esok sedikit terganggu dengan ketiadaan dua tonggak utama.

Beliau berkata pemain tengah import Nurillo Tukhtasinov terpaksa diketepikan akibat digantung perlawanan  manakala pemain sayap lincah Muhammad Akhyar Abdul Rashid berdepan masalah kesihatan.

Situasi itu memaksa pengendali berusia 49 tahun itu melakukan sedikit rombakan dalam kesebelasan utama bagi memastikan skuad Penyu mencapai kemenangan wajib di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) Kuala Nerus.

"Tukhtasinov telah dilayangkan tiga kad kuning dalam perlawanan sebelum ini... jadi dia digantung satu perlawanan. Akhyar pula mengalami demam serta cirit-birit sejak beberapa hari lepas.

"Mengikut perancangan bersama barisan kejurulatihan, saya mungkin akan menurunkan Akram (Muhammad Akram Mahinan) di posisi Tukhtasinov dan Engku Muhammad Nur Shakir Engku Yacob di tempat Akhyar," katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Badrul Afzan turut mengingatkan anak buahnya supaya tidak mengulangi kesilapan yang mengakibatkan mereka kehilangan tiga mata berharga ketika berdepan Kuala Lumpur City FC (KL City) pada aksi minggu lalu.

Beliau menegaskan selain memiliki barisan serangan berbahaya, benteng pertahanan skuad The Cats juga kukuh dan sukar ditembusi.

"Kita tak boleh terus kehilangan mata jika mahu mencabar kedudukan Sabah FC di tempat ketiga. Saya harap pemain lebih fokus dan tidak melakukan kesilapan mudah yang boleh menyebabkan kita dihukum di tempat sendiri," katanya.

TFC kini berada di tangga keempat Liga Super dengan 27 mata, di belakang Sabah FC yang mengumpul 33 mata sementara Kuching City FC di tangga keenam dengan 27 mata, ketinggalan di belakang Perak FC yang berkongsi jumlah mata sama.

-- BERNAMA

© 2025 BERNAMA   • Disclaimer   • Privacy Policy   • Security Policy  
https://bernama.com/bm/news.php?id=2394584