NILAI, 20 Feb (Bernama) -- Kehadiran jaguh berbasikal trek negara Datuk Mohd Azizulhasni Awang di Velodrom Nasional di sini sebagai ‘penonton’ sudah cukup untuk menyuntik semangat pasukan negara dalam menghadapi Kejohanan Berbasikal Trek Asia (ATC) 2025 yang bermula esok, menurut pelumba trek negara, Muhammad Fadhil Mohd Zonis.
Fadhil yang sebelum ini meraih pingat emas dalam acara 1km ujian masa di ATC 2023 berazam untuk menampilkan prestasi terbaik dan ‘meletup’ dalam acara keirin kali ini sekali gus membuktikan kemampuannya di pentas kejohanan berprestij itu.
“Dari segi semangat pasukan, kami memang menyasarkan untuk meraih pingat. Sejak beberapa tahun lalu, kami mengekalkan kedudukan dalam senarai pemenang pingat, jadi kali ini, kami akan berusaha untuk meneruskan pencapaian itu. Kehadiran Datuk (Azizulhasni) di sini turut menjadi suntikan semangat buat kami.
“Secara peribadi, saya akan memberi tumpuan kepada acara keirin. Saya mahu melakukan sesuatu yang bermakna kerana mendapat peluang untuk bersaing dalam keirin di peringkat Asia kali ini. Sasaran utama saya adalah mara ke peringkat akhir, kemudian kita lihat bagaimana,” katanya kepada Bernama di sini hari ini.
Ketika ditanya mengenai pencabar utama, pelumba berusia 27 tahun itu menyebut pelumba Jepun sebagai pesaing bertaraf dunia kerana mereka mempunyai kayuhan yang konsisten tanpa kelemahan ketara serta mampu melaksanakan strategi dengan baik.
Fadhil sebelum ini terpaksa menarik diri daripada ATC 2024 di New Delhi selepas menghidap jangkitan virus.
Skuad Malaysia disasarkan untuk meraih tiga pingat tanpa menetapkan warna di ATC 2025 dengan Ketua Jurulatih Berbasikal Trek Kebangsaan Harnizam Basri meletakkan harapan pada acara pecut berpasukan lelaki dan wanita serta keirin wanita menerusi Nurul Izzah Izzati Mohd Asri.
-- BERNAMA